PETALING JAYA: Gandingan Tobias Krebs dan Chan Qing Rong dari pasukan JS Racing mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara sulung kelas SBK Elite pada edisi pertama Estremo Superbike Endurance 2025 by Braaap, semalam.
Perlumbaan format ketahanan yang berlangsung sempena sambutan Hari Malaysia itu turut dimeriahkan dengan drama hujan lebat di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS menyaksikan persaingan menjadi lebih dramatik.
Situasi sukar itu kemudian memaksa penganjur membuat keputusan sukar untuk menamatkan saingan lebih awal berbanding waktu perlumbaan selama sejam atas faktor keselamatan pelumba.
Menunggang jentera Suzuki GSX1000R, gandingan JS Racing itu mempamerkan tunggangan konsisten dalam keadaan litar basah untuk melakukan keseluruhan 36 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 46 minit 38.299 saat.
Tempat kedua dalam kelas SBK Elite menjadi milik pasukan Nomoney Racing with Estremo-BMW, yang menampilkan pempengaruh popular, Mohd Ahmad Hawash Khan atau lebih dikenali sebagai Ahmad Khan bersama Amin Ariff Ashaari Abdul Aziz, yang melakukan 35 pusingan.
Melengkapkan podium bagi kelas teratas itu adalah pasukan FGRT Project One yang dibarisi Mohd Azlly Shaari dan Mohd Fahmi Abdul Wahab.
Pengerusi Kelab Bermotor Braaap yang juga penganjur, Azuan Izadee Md Nordin berkata, pihaknya menerima sambutan luar jangka bukan saja daripada peserta malah peminat sekali gus membuktikan Malaysia memang mempunyai kelompok peminat yang besar dalam perlumbaan ketahanan.
“Kami terkejut dan bersyukur dengan sambutan yang diterima, ia benar-benar di luar jangkaan. Malah ada ramai penonton tidak dapat masuk kerana ‘wristband’ habis terjual, dan ini membuktikan acara seperti ini memang dinanti-nantikan.
“Menganjurkan perlumbaan endurance waktu malam buat kali pertama tanpa sebarang data adalah satu cabaran besar, tetapi kami berjaya melaksanakannya dengan lancar tanpa sebarang masalah besar dan ditamatkan tepat pada masa yang kami tetapkan,” kata Azuan.
Susulan kejayaan ini, pihak penganjur kini merancang untuk mengembangkan kejuaraan itu sebagai siri kejuaraan pada tahun hadapan.
“Maklum balas daripada pasukan-pasukan yang bertanding amat positif; mereka mahukan lebih banyak pusingan. Justeru, kami menyasarkan untuk menganjurkan format siri dengan empat pusingan pada tahun depan.
“Tetapi untuk merealisasikan impian ini, kami amat mengalu-alukan sokongan daripada pihak penaja korporat dan juga kerajaan untuk bersama-sama membangunkan sukan permotoran tempatan seperti ini,” katanya.
Estremo Superbike Endurance 2025 by Braaap menampilkan format perlumbaan termasuk permulaan unik ala pelumbaan ‘Le Mans’, di mana pelumba dikehendaki berlari ke jentera masing-masing untuk memulakan perlumbaan.
Kejohanan ini dijayakan oleh ESTREMO sebagai penaja utama, Pirelli sebagai pembekal tayar rasmi, serta disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Rakan Muda, Tourism Malaysia, dan mendapat Kerjasama Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).
Sekali pun ini adalah penganjuran pertama, kejuaraan ini mendapat sanksi daripada Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Rakan Muda, Tourism Malaysia dengan Pirelli sebagai pembekal tayar tunggal.-UTUSAN