Elmi ada misi besar di LTdL 2025

Elmi ada misi besar di LTdL 2025

Elmi menunjukkan bekas kecederaan pada jari telunjuk kanannya sebelum menjalani latihan menjelang menjelang peringkat pertama LTdL 2025, esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pelumba kebangsaan, Mohd Elmi Jumari sanggup menangguhkan pembedahan jarinya semata-mata mahu memburu kemenangan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Elmi berdepan detik hitam apabila terbabit dalam kemalangan tahun lalu, namun kali ini beliau hadir dengan tekad memburu kemenangan peringkat pertama di Pulau Langkawi, esok.

Katanya, trauma akibat kemalangan itu langsung tidak mengganggunya kerana sudah kembali menemui sentuhan selepas menyertai beberapa kejohanan sebelum ini.

“Sikit trauma pun tidak ada sebab dah sertai beberapa kejohanan sebelum ini. Jadi dah dapat rentak balik macam dulu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.

Elmi, 35, menyasarkan untuk menyarung Jersi Hijau, walaupun hanya sehari, selain memberi tumpuan pada peringkat pertama dan kedua sebelum cabaran mendaki bermula di peringkat ketiga.

“Kalau boleh nak menang peringkat pertama atau kedua sebab peringkat ketiga dah mula mendaki. Kalau boleh nak pakai Jersi Hijau walaupun sehari,” ujarnya penuh keyakinan.

Dalam masa sama, Elmi tidak terkilan apabila tidak dipilih sebagai kapten pasukan kebangsaan bagi edisi kali ini, sebaliknya menyifatkan pelantikan Shahrul Mat Amin satu keputusan tepat.

“Beliau (Shahrul) lebih berpengalaman daripada saya kerana dia dah sertai LTdL sembilan kali dan juga merupakan bekas pelumba TSG.

“Jadi saya lagi yakin kalau dia pegang kapten dan beban saya juga berkurangan. Jadi saya hanya perlu dengar arahan beliau yang telah dirancang bersama jurulatih,” katanya.

Dengan keyakinan yang kembali pulih, Elmi menganggap peluang merebut kemenangan di Langkawi sebagai langkah terbaik untuk mengukir kebangkitan selepas setahun menanggung kekecewaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN