Eilisha-Farisya pelapis legasi Dhabitah-Pandelela

Eilisha-Farisya pelapis legasi Dhabitah-Pandelela

Nur Eilisha Rania Abrar Raj ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha tahun lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Akuatik Asia di Ahmedabad, India yang bermula hari ini bakal menjadi pentas penilaian penting buat gandingan muda negara, Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi.

Pasangan berusia 20 dan 16 tahun itu melayakkan diri selepas melepasi syarat kelayakan minimum (MQS) pada ujian kebangsaan Mei lalu dan kejohanan ini dianggap kayu ukur sebenar menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Pengarah teknikal terjun negara, Yeoh Ken Nee berkata, kedua-dua penerjun itu dilihat berpotensi besar untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri pada masa depan.

“Buat masa ini mereka adalah pasangan kedua terbaik untuk Sukan SEA tahun ini. Saya berharap mereka dapat mengekalkan standard prestasi dan terus meningkat sehingga menjadi pasangan nombor satu Malaysia,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, status gandingan terbaik negara masih terbuka biarpun Pandelela tidak beraksi pada Kejohanan Terjun Kumpulan Umur (MIAG) baru-baru ini akibat kecederaan.

“Agak sukar untuk ditentukan sekarang kerana Pandelela cedera dan tidak bertanding, jadi kita perlu tunggu kejohanan seterusnya untuk melihat pasangan mana yang muncul sebagai yang terbaik,” jelasnya.

Eilisha-Farisya sebelum ini mempamerkan peningkatan meyakinkan dalam siri kejohanan remaja, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai prospek utama pelapis arena terjun wanita negara.

Selain mereka, penerjun senior wanita negara, Ong Ker Ying turut membarisi bersama lima penerjun lelaki iaitu Muhammad Syafiq Puteh, Elvis Priestly Clement, Enrique Maccartney Harold, Muhamad Anilrian Normatrud Abdullah dan Bertrand Rhodict Lises ke Ahmedabad.

Untuk rekod, Eilisha sebelum ini tersenarai ke Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, manakala Farisya membarisi skuad ke Kejohanan Akuatik Dunia Remaja di Brazil tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN