PETALING JAYA: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki bakal dirombak menjelang Siri Kejohanan Ragbi Asia 7s edisi kedua di Colombo, Sri Lanka dari 18 hingga 19 Oktober ini.
Ketua jurulatih ragbi 7s lelaki negara, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, rombakan perlu dilakukan kerana tujuh pemain sedia ada mengalamai kecederaan.
Katanya, kesemua tujuh pemain itu mengalami kecederaan ketika membawa cabaran Malaysia Siri Kejohanan Ragbi Asia 7s edisi pertama di Hangzhou, China yang berakhir, kelmarin.
Nik Safuan berkata, dia perlu mendapatkan laporan perubatan penuh daripada Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengetahui keadaan pemainnya sebelum membuat pertukaran.
“Apabila beraksi dalam kejohanan dua hari berturut-turut, pemain tidak boleh bertahan lama sebab kita baru berlatih (bermula 15 Ogos lalu), jadi risiko untuk pemain cedera tinggi.
“Untuk siri kedua nanti, kita perlu menambah baik tahap kecergasan dan pengalaman beraksi. Saya mungkin akan tukar pemain untuk menggantikan mereka yang cedera. Saya perlu tunggu laporan ISN dan mungkin tiga atau empat pemain yang perlu ditukar,” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Safuan berpuas hati dengan pencapaian pasukan yang menduduki tangga keenam di China dan berharap mereka dapat mengekalkan prestasi terbaik di Colombo nanti.
“Siri kedua nanti kita kena dapatkan sekurang-kurangnya lapan terbaik supaya kita kekal dalam kejohanan ini pada musim hadapan,” katanya.
Sementara itu, skuad wanita negara menamatkan kempen di tempat kelapan selepas tewas 10-17 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan.-UTUSAN