Alex bongkar pengorbanan abangnya

Alex bongkar pengorbanan abangnya

MARC MARQUEZ - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOTEGI: Alex Marquez mendedahkan bahawa peminat MotoGP hanya melihat 10 peratus daripada usaha sebenar abangnya, Marc Marquez yang dinobatkan sebagai juara dunia musim ini.

Alex berkata, Marc sememangnya layak memenangi kejuaraan dunia selepas mengharungi segala cabaran malah abangnya pernah terfikir untuk bersara daripada sukan permotoran itu.

“Saya satu-satunya yang masih mempunyai peluang (untuk menghalang Marc daripada memenangi kejuaraan), banyak kamera tertumpu dan bila anda tidak mempunyai perasaan yang baik di atas trek, semuanya menjadi seperti bola salji yang semakin membesar dan sukar dikawal.

“Tapi walau apa pun, dari pihak dia, dia memang layak menerimanya. Saya tak pernah ragu bahawa dia akan kembali, dia akan menjadi kuat semula.

“Memang benar orang ramai di luar sana hanya nampak 10 peratus daripada proses kebangkitan ini, bukan 100 peratus. Saya bertuah kerana dapat melihat keseluruhan proses itu secara langsung. Dia memang layak lebih daripada sesiapa pun.

“Tahun ini, dia lebih baik daripada semua orang. Saya tak pernah ragu apabila dia ada peralatan yang betul, bila dia ada segalanya, dia akan kembali lebih kuat dan dia buktikannya tahun ini,” katanya. 

Marc dinobatkan sebagai juara dunia buat kali ketujuh selepas menamatkan perlumbaan 24 pusingan di tempat kedua di Grand Prix (GP) Jepun kelmarin.

Kejayaan itu hadir enam tahun selepas kali terakhir dia menjadi juara pada 2019, sebelum kariernya mengalami kejatuhan berikutan mengalami kecederaan serius pada lengan dalam GP Sepanyol 2020. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN