Aksi penuh emosi buat Mbeumo

Aksi penuh emosi buat Mbeumo

PENYERANG Manchester United, Bryan Mbeumo akan menentang bekas pasukannya, Brentford, malam ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kepulangan semula Bryan Mbeumo ke Stadium Komuniti GTECH dalam aksi Manchester United berdepan Brentford, malam ini dijangka disambut dengan perasaan bercampur baur.

Jika bekas bintang Brentford itu meledak gol di tempat dia membina nama musim lalu, dia juga tidak akan meraikannya bagi menghormati bekas kelab dan penyokong yang setia menyokongnya.

Penyerang yang pernah bergandingan mantap dengan Yoane Wissa itu menyertai United Julai lalu dengan nilai 65 juta pound (RM366 juta) dan sudah menjaringkan satu gol dalam liga.

Berbeza dengan Wissa, yang berpindah ke Newcastle United selepas pertelingkahan panjang dengan Brentford sambil berkempen secara terbuka untuk dilepaskan, Mbeumo meninggalkan London barat dengan penuh bermaruah.

Dia menjaringkan 70 gol dalam 242 penampilan sepanjang enam tahun bersama Brentford dan menghasilkan video perpisahan khas sebagai penghargaan kepada penyokong ketika berpisah.

“Sudah tiba masanya untuk pergi. Terima kasih Brentford untuk segala-galanya, selamanya. Saya akan sentiasa sayang anda semua dan merindui anda,” katanya ketika itu, perasaan yang mungkin dibalas penyokong apabila dia melangkah kembali ke tengah padang.

Pertembungan kedua-dua pasukan jangka sengit dengan United kini bermula dengan hambar di Liga Perdana Inggeris (EPL), manakala Brentford pula berada di tangga ke-17 liga.

United menewaskan Chelsea 2-1 di Old Trafford hujung minggu lalu, kemenangan kedua mereka musim ini, tetapi masih gagal menang dua perlawanan liga berturut-turut sejak Mei tahun lalu dan belum menang di tempat lawan musim ini.

Brentford pula pernah menang dua daripada tiga pertemuan terakhir di laman sendiri menentang United, walaupun kini dibimbing jurulatih baharu, Keith Andrews selepas Thomas Frank berpindah ke Tottenham Hotspur.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN