PERJALANAN hidup seorang pemain bola sepak sentiasa dipenuhi dengan suka duka, pilihan dan pengorbanan.
Bagi Akmal Rizal Ahmad Rakhli, namanya sudah terpahat dalam lipatan sejarah bola sepak tanah air sebagai penyerang yang pernah melangkah ke pentas Eropah, sebelum kembali ke kancah tempatan dengan kisahnya yang penuh warna-warni.
Dilahirkan pada 12 Disember 1981, Akmal mula menonjol sejak zaman remajanya. Pada usia belasan tahun, anak jati Kedah ini membantu skuad Kedah A menjuarai Piala FAM-MSSM-Milo Bawah 14 tahun pada 1994.
Setahun kemudian, namanya kembali meniti dibibir peminat apabila menyumbang kejayaan Malaysia menjuarai Kejohanan Nike U14 Asia Pacific Premier Cup di Shah Alam, malah meledak hatrik menewaskan Singapura 6-0.
Ketika itu, Akmal bukan sahaja menjadi pemain penting, malah turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.
Lebih manis, skuad B-14 Malaysia berjaya mengejutkan dunia bola sepak remaja dengan menewaskan pasukan B-14 Ajax Amsterdam, 5-4 di gelanggang lawan, ia satu pencapaian yang kekal dikenang hingga hari ini.
Dalam Kejohanan Nike Premier Cup 1996, dia menjaringkan tujuh gol ketika Malaysia membelasah Korea Selatan 12-0, dan menambah satu lagi jaringan ketika menumbangkan Jepun 4-0, sebelum tewas kepada Indonesia di pentas akhir namun Akmal tetap menerima anugerah pemain terbaik kejohanan.
Bakat luar biasa Akmal akhirnya membuka jalan untuknya berlatih bersama kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pada 199, selama sebulan.
Kerjaya remajanya terus berkembang, pada 1998, Akmal menjadi penjaring prolifik bersama skuad Kedah B-18, meledak 10 gol dalam empat perlawanan.
Tahun itu juga dia dipanggil menyertai skuad negara di bawah Hatem Soussi untuk Kelayakan Remaja Asia B-19, selain membantu Kedah menjuarai Piala Milo B-18 Kebangsaan.

Tahun 1999 menjadi detik bersejarah apabila Akmal dipilih sebagai pemain paling muda dalam skuad Olimpik negara.
Dalam penampilan sulungnya, dia menjaringkan gol ketika Malaysia menewaskan Singapura 3-1, aksi itu mengukuhkan reputasinya sebagai bintang masa depan Harimau Malaya.
Kehebatannya tidak terhenti di situ apabila tahun sama, Akmal dan Juzaili Sameon terbang ke Perancis menyertai RC Strasbourg.
Bersama pasukan B-21 Strasbourg, Akmal sempat meledak dua gol ketika menewaskan FC Cologne dalam aksi persahabatan kelab Eropah.
“Ketika di Perancis, apabila saya pergi ke RC Strasbourg, saya tidak boleh bermain dengan mereka dalam liga kerana kuota pemain import luar Eropah. Jadi saya dipinjamkan ke kelab FCSR Haguenau selama enam bulan.
“Saya konsisten sebagai penjaring terbanyak dalam pasukan dan juga terbanyak dalam liga tetapi tiga perlawanan terakhir sebelum tamat musim pada bulan Mei 2001, saya mengalami kecederaan hamstring yang cukup serius.
“Sebelum itu, saya telah mendapat surat tawaran untuk menjalani ujian pemilihan pasukan CS Sedan dalam divisyen pertama tetapi saya tidak dapat pergi kerana masalah kecederaan hamstring itu.
“Jadi, apabila tamat kontrak selama dua tahun di sana, saya pulang ke Malaysia. Jadi, peluang nak keluar (luar negara) lagi pada masa itu tiada, di Malaysia pun, ejen dan sebagainya belum ada, apabila pulang ke Malaysia, tiada peluang lagi untuk pergi ke luar negara, jadi terpaksa bermain terus di Malaysia,” kata Akmal.
Menariknya, pada tahun 2001, Akmal hampir direkrut Jurgen Klopp yang ketika itu membimbing Mainz 05.
Klopp begitu kagum dengan aksinya dalam perlawanan ujian sehingga hampir menawarkan tempat kem latihan enam minggu di Jerman, bahkan, Eintracht Frankfurt turut berminat mendapatkan Akaml tetapi dia memilih untuk kembali ke Kedah.
Ia satu keputusan yang sering dianggap sebagai antara ‘what if’ terbesar dalam bola sepak Malaysia.
Pada awal 2000-an, Akmal pulang ke tanah air untuk menyertai Kedah, di sini, dia membantu skuad Hijau Kuning menjuarai Liga Perdana 2002, selain membawa pasukan ke pentas akhir Piala Malaysia 2004, meskipun tewas kepada Perlis.
Namun, kecederaan lutut serius sekitar 2005-2006 menjejaskan rentak permainannya sehingga diberitahu pengurusan Kedah untuk dirinya mencari kelab baharu, dan pada 2007 Akmal menyertai Selangor.
Kontraknya bersama Selangor berakhir pada 2008, sebelum dia meneruskan karier bersama beberapa pasukan lain termasuk Perak, Kelantan, Kuala Muda Naza dan Sarawak.
Di pentas antarabangsa, Akmal mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan penting. Beliau tampil dalam Piala Tiger 2002, Sukan SEA 2003 di Hanoi, Piala Liga Perdana Inggeris Asia, dan yang paling berprestij Piala Asia 2007.

Walaupun kariernya dibelenggu kecederaan, Akmal tetap dianggap antara penyerang terbaik generasinya.
Selepas bersara pada 2016, Akmal tidak meninggalkan bola sepak, dia memilih bidang kejurulatihan, antaranya bersama Penang FC.
Perjalanan hidup Akmal Rizal membuktikan bahawa impian besar memerlukan pengorbanan besar.
Dari gelanggang remaja tempatan ke latihan bersama Bayern Munich, pengalaman di Perancis, hampir direkrut Klopp, sehinggalah pulang untuk menjulang Kedah kisahnya adalah sebuah naratif penuh inspirasi.-UTUSAN