PETALING JAYA: Atlet lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly mencipta sensasi apabila memecahkan rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi, hari ini.
Atlet berusia berusia 28 tahun itu melakukan lompatan 7.67 meter (m) untuk memenangi pingat emas sekali gus memperbaharui rekod dunia juga miliknya, 7.64m yang dilakukan di Sukan Para Asia di Jakarta pada 2018.
Beliau turut memecahkan rekod temasya menerusi lompatan pertamanya, 7.61m sebelum memperbaharui rekod dunia pada percubaan ketiga.
Abdul Latif berkata beliau mendedikasikan kejayaan tersebut kepada isterinya, Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi yang kini sedang hamil.
“Hari ini saya sangat berpuas hati kerana dapat memecahkan dua rekod di India. Pingat emas ini untuk isteri saya dan bakal anak saya,” katanya.
Pingat perak dimenangi Hassan Dawshi dari Arab Saudi yang melakukan lompatan 7.36m manakala gangsa milik atlet NPA, Matvei Iakushev (7.22m). – UTUSAN