BATU KAWAN: Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail percaya Penang FC mampu memberi saingan dalam saingan Liga Super musim depan biarpun tidak konsisten dalam aksi pramusim.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, aksi persahabatan pramusim bukan bertujuan untuk mengejar kemenangan semata-mata, sebalik lebih kepada mencari kelemahan pasukan untuk diperbetulkan selain menambah baik kekuatan.
“Saya kena cari apakah punca sebenar (pemain mula beraksi longlai). Tapi, bagus juga berlaku sekarang untuk saya kenal pasti perkara ini lebih awal supaya ia tidak berlaku lagi dalam liga yang sebenar.
“Justeru, dalam tempoh lebih kurang seminggu ini saya akan berusaha memperbetulkan apa yang patut dan saya akan pastikan Penang FC benar-benar bersedia untuk menghadapi perlawanan pertama nanti (menentang Terengganu FC pada 10 Ogos),” katanya.
Dalam aksi pramusim terakhir menentang Imigresen FC di Stadium Batu Kawan, kelmarin, anak buah Wan Rohaimi melakar kemenangan tipis 1-0.
Mengulas lanjut, Wan Rohaimi berkata, dengan barisan pemain yang dimilikinya ketika ini, beliau yakin skuad Harimau Kumbang mampu membuktikan sesuatu dalam saingan liga nanti.
“Dari segi kombinasi, dari segi kelancaran latihan dan sebagainya, Alhamdulillah, saya diberi kemudahan untuk itu. Jadi, saya bersyukur buat masa ini,” ujar beliau.
Penang FC sebelum ini melakukan rombakan besar-besaran apabila menyingkirkan hampir semua pemain import mereka termasuk kapten, Rafael Vitor dari Brazil dan hanya mengekalkan seorang pemain iaitu Dylan Wenzel-Halls dari Australia bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Malaysia.
Ketika ini, enam pemain import baharu telah dibawa masuk oleh Penang FC termasuk dua penyerang berpengalaman, Tchetche Kipre dan Bruno Suzuki; pemain sayap, Danilo Sipovac; pemain tengah, Thiago Fernandes serta dua bek tengah, Stefano Brundo dan Limbikani Oscar Mzava.
Selain itu, beberapa pemain tempatan seperti pemain berpengalaman Khairulazhan Khalid, Ramadhan Hamid, Khatul Anuar, Ariff Farhan Isa turut dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan.-UTUSAN