Vidakovic kecewa, Sabah lega

Vidakovic kecewa, Sabah lega

PEMAIN Sabah FC, Gabriel Peres muncul wira skuad Sang Badak apabila gol jaringannya pada minit terakhir perlawanan berjaya mengikat Kuala Lumpur City (KL City) FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kelmarin.- UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City, Risto Vidakovic menyifatkan pasukannya melepaskan peluang keemasan untuk meraih tiga mata penuh pada aksi kedua Liga Super berdepan Sabah FC, kelmarin.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, KL City diikat Sabah 1-1 menerusi gol pada minit terakhir perlawanan ketika skuad pelawat bermain dengan 10 pemain untuk keseluruhan babak kedua selepas Dean Pelekanos dilayangkan kad merah di hujung babak pertama.

Vidakovic mengakui mereka sepatutnya membawa pulang tiga mata pada aksi itu, namun di penghujungnya, mereka terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas membuka kempen musim ini dengan kemenangan meyakinkan.

“Ia satu perasaan yang paling teruk apabila anda dibolosi terutamanya selepas menguasai sebahagian besar separuh masa kedua. Kita ada banyak peluang untuk memuktamadkan perlawanan tetapi inilah bola sepak.

“Kadangkala anda perlu terima (keputusan) dan terus memandang ke depan. Saya rasa pasukan beraksi dengan baik, jadi kita tidak layak untuk sekadar mendapat keputusan seri.

“Ini adalah peluang terbaik untuk kita mendapatkan tiga lagi mata, sekali gus menambah keyakinan sebagai satu pasukan yang dibentuk dari kosong. Jadi saya rasa penting untuk kita menang tetapi itu yang berlaku (seri),” kata Vidakovic.

Jaringan tonggak pertahanan Sabah, Gabriel Peres pada masa kecederaan memusnahkan harapan skuad Warga Kota untuk melakar rekod kemenangan bersih dalam dua aksi awal Liga Super musim ini.

KL City FC terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-65 selepas bola sepakan Declan Lambert tertampan kaki pertahanan The Rhinos, Dane Ingham sebelum menerjah jaring.

Selepas dua perlawanan, KL City FC menghimpun empat mata untuk menghuni tangga ketiga Liga Super setakat ini.

Sementara itu, pembantu jurulatih Sabah FC, Alto Linus mengakui satu mata yang diraih boleh dianggap sebagai keputusan yang positif untuk dibawa pulang dari tempat lawan terutama bermain dengan 10 pemain pada babak kedua.

“Tidak mudah bermain menentang KL City yang turun dengan motivasi terbaik apabila memenangi perlawanan pertama. Apatah lagi kita beraksi dengan 10 pemain, jadi kredit kepada usaha pemain untuk memastikan kita kembali dengan satu mata.

“Kad merah itu sememangnya menjejaskan kita dan apabila kita turun dengan 10 pemain, saya katakan kepada pemain bahawa mereka perlu bekerja lebih keras lagi untuk mendapatkan sesuatu di sini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN