Skuad muay thai waspada bisa tuan rumah

Skuad muay thai waspada bisa tuan rumah

AHMAD Nor Iman Aliff Rakib bakal membawa cabaran negara di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad muay thai negara diingatkan agar tidak terlalu selesa biarpun bakal dibarisi bintang ONE Championship di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, Thailand memiliki kelbihan besar pada temasya itu kerana turun selaku tuan rumah.

“Thailand akan jadi halangan paling besar buat semua pasukan. Beraksi di laman sendiri memberi mereka suntikan moral luar biasa, sekali gus menyukarkan laluan negara mencapai sasaran.

“Namun, dengan persiapan rapi serta semangat juang tinggi, kita optimis mampu memberi tentangan kepada mana-mana lawan,” katanya.

Kem muay thai negara di Sukan SEA 2025 bakal diperkuatkan oleh dua jaguh ONE Championship iaitu Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dan Mohammad Rifdean Masdor.

Kedua-dua petarung itu akan mengetuai senarai lapan atlet elit yang terdiri masing-masing empat lelaki dan wanita dengan misi realistik meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Bagaimanapun, Muhammad Shahnaz turut mengingatkan tentang ancaman negara serantau lain seperti Kemboja, Myanmar dan Laos yang hadir dengan gaya unik masing-masing.

“Cabaran besar di Sukan SEA adalah kekuatan sebenar mereka sukar dijangka kerana jarang beraksi di kejohanan dunia.

“Tetapi apabila di Sukan SEA, mereka turun dengan kekuatan penuh dan inilah ancaman tersembunyi yang perlu kita beri perhatian,” jelasnya.

Acara muay thai bakal berlangsung di Songkhla dan sudah pasti pasukan tuan rumah bakal memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN