MENGIMBANGI komitmen sebagai atlet kebangsaan dan persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah tugas mudah, namun bagi Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi, 17, segalanya mampu diatur dengan disiplin dan semangat yang kental.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abu Bakar Baginda itu, mengatur masa dalam bidang akademik dan karier sebagai atlet boling memerlukan fokus dan semangat yang kuat.
“Dua-duanya memerlukan fokus dan disiplin yang tinggi, jadi saya berusaha mengatur masa sebaik mungkin agar dapat memberikan yang terbaik dalam kedua-dua bidang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Berlatih lima kali seminggu, dua jam setiap sesi termasuk ketika bulan Ramadan, Qurratu’Ain mengakui jadual hariannya padat kerana bersekolah pada sesi pagi, diikuti latihan petang, manakala waktu malam pula diisi dengan kelas tuisyen serta ulang kaji pelajaran.
“Memang penat, tapi saya percaya kalau pandai urus masa dan berdisiplin, kedua-duanya boleh jalan seiring,” jelasnya.
Berasal dari Selangor dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, minatnya terhadap boling bermula ketika kecil sekadar menemani abang-abang menjalani latihan.
Pada usia sembilan tahun, beliau sudah pun mewakili negeri Selangor dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan kekal menyarung jersi negeri sehingga tingkatan lima.
Selain MSSM, Qurratu’Ain turut menyertai kejohanan sirkit anjuran Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), yang menjadi titik tolak kepada langkah lebih serius dalam sukan ini.
Sepanjang pembabitannya, banyak kejohanan memberi kenangan manis, namun tiga kejayaan paling bermakna adalah menjuarai Terbuka Wanita Kejohanan Tertutup Malaysia 2024, meraih tempat ketiga dalam acara Terbuka Wanita Kejohanan Antarabangsa Terbuka Hong Kong, dan mendominasi Kejohanan Remaja Asia di Doha, Qatar dengan merangkul llima pingat emas.
Di Hong Kong, beliau berpeluang bersaing dengan atlet senior bertaraf elit dari luar negara, sekali gus mematangkan corak permainannya.
“Ia pengalaman yang membuka mata saya tentang tahap permainan di luar dan memberi inspirasi untuk terus memperbaiki diri,” katanya.
Di Doha pula, Qurratu’Ain mencipta sejarah peribadi apabila membawa pulang lima pingat emas daripada semua kategori yang disertainya iaitu individu, beregu, all events, berkumpulan dan master.
“Pencapaian ini sangat istimewa kerana ia sesuatu yang sukar dicapai dan menjadi kenangan manis dalam kerjaya saya,” ujarnya.
Namun, tidak semua perjalanan di lorong boling berakhir dengan senyuman apabila di Kejohanan Antarabangsa Terbuka Singapura, beliau terlepas peluang mara ke pusingan akhir hanya dengan perbezaan dua pin.
“Saya sangat kecewa kerana sudah memberi segalanya, tetapi masih belum cukup. Pengalaman itu mengajar saya bahawa setiap pin sangat bermakna dan saya perlu sentiasa fokus hingga balingan yang terakhir,” katanya.
Bagi Qurratu’Ain, kejayaan di lorong boling bukan sekadar soal kemenangan, tetapi tentang membina keyakinan, belajar daripada kegagalan, dan terus melangkah ke hadapan dengan semangat juang yang tidak pernah padam.-UTUSAN