Penampilan pertama hadiahkan emas buat Cheong Min

Penampilan pertama hadiahkan emas buat Cheong Min

TAN CHEONG MIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu wushu negara, Tan Cheong Min mengakui kejayaan meraih pingat emas di Chengdu, China menjadi lebih manis kerana ianya hadir pada penampilan sulungnya pada temasya Sukan Dunia, semalam.

Atlet berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi bertenaga dalam acara Nanquan-Nandao untuk mengumpul 19.479 mata, menewaskan wakil Uzbekistan, Latisheva Darya (19.433 mata) dan atlet Singapura, Kassandra Ong (19.386 mata).

Beliau berkata, setiap slot ke kejohanan berprestij itu memerlukan proses pemilihan yang ketat dan hanya atlet dengan keputusan terbaik layak ke Chengdu.

“Ini kali pertama saya datang ke Chengdu, saya sangat menikmatinya dan apabila masuk ke gelanggang, melihat semua penonton memberi tumpuan, saya rasa mahu membuat persembahan yang terbaik.

“Sudah tentu, saya perlu mengucapkan terima kasih banyak kepada Persekutuan Wushu Antarabangsa, Persekutuan Wushu Malaysia, presiden dan jurulatih kerana melalui pimpinan mereka kami berpeluang merebut kelayakan ke sini,” kata Cheong Min.

Kemenangan ini turut menjadi pembakar semangat untuk Cheong Min memburu lebih banyak kejuaraan selepas mengatasi cabaran besar dalam tahun yang padat dengan kejohanan antarabangsa.

Terdahulu, pada hari pembukaan temasya terbabit kelmarin, Sydney Chin terlebih dahulu menghadiahkan pingat pertama negara selepas meraih gangsa menerusi disiplin Taijiquan-Taijijian dengan mengumpul 19.410 mata.

Emas acara itu menjadi milik atlet tuan rumah, Lu Zhuoling yang mengumpul 19.522 mata manakala perak diraih atlet Singapura, Zeanne Law dengan 19.430 mata.

Untuk rekod, Sukan Dunia ialah acara pelbagai sukan antarabangsa yang terdiri daripada sukan dan disiplin sukan yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN