PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu memanfaatkan sepenuhnya dua aksi persahabatan Tier 1 menentang Singapura dan Palestin bulan depan memandangkan ia akan berlangsung di laman sendiri.
Dua aksi persahabatan itu berlangsung pada jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan pastinya kemenangan akan memberikan mata tambahan untuk Malaysia memperbaiki kedudukan ranking.
Kemaskini ranking terbaharu ranking FIFA menyaksikan Malaysia ketika ini berada di tangga 125 dunia, melonjak naik enam anak tangga berbanding di kedudukan ke-131 pada kemas kini terdahulu (3 April 2025).
Penilaian ranking seterusnya akan dibuat pada 18 September iaitu selepas jendela FIFA dan juga selepas aksi persahabatan Malaysia menentang Singapura dan Palestin, ini bermakna kemenangan menjamin tempat yang lebih baik.
Sebelum ini, Peter Cklamovski menjelaskan beliau tidak begitu meletakkan fokus sepenuhnya untuk misi memburu kedudukan ranking semata-mata, sebaliknya lebih penting adalah memastikan mereka terus menunjukkan peningkatan demi peningkatan.
“Kalau kita terus menang (dalam perlawanan), ranking kita pun sudah pasti akan terus meningkat. Ia adalah sesuatu yang mudah seperti itu tetapi saya tidak terlalu fokus kepada perkara sebegitu.
“Saya fokus kepada bagaimana supaya kita dapat meningkatkan pasukan ini untuk melakukan sesuatu yang istimewa. Kita buat sesuatu yang istimewa, ranking kita akan meningkat naik dan semua orang akan gembira,” kata Cklamovski.
Meskipun berlangsung di laman sendiri, skuad bimbingan Peter Cklamovski akan beraksi di venue yang berbeza iaitu di Kuala Lumpur dan Johor apabila melayan kunjungan Singapura dan Palestin nanti.
Mereka terlebih dahulu akan menentang pasukan di ranking ke-159 dunia yang juga seteru dari seberang tambak, Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, 4 September dan berdepan Palestindi Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 September.
“Jadual Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 telah ditetapkan. Pasukan kebangsaan kita akan beraksi dalam dua perlawanan bertaraf tinggi di dua venue berbeza, sebagai persiapan penting menjelang kejohanan akan datang,” kata Malaysia NT dalam satu kenyataan, hari ini.
Perlawanan menentang Singapura dan Palestin adalah sebagai persiapan sebelum menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bermula dengan dua perlawanan berdepan Laos pada 9 dan 14 Oktober diikuti Nepal pada 18 November.-UTUSAN