SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) berharap mampu melakar keputusan positif dalam tiga perlawanan awal saingan Liga Super musim 2025-2026 yang membuka tirai bulan ini.
Skuad Jang akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pada 12 Ogos ini sebelum menerima kunjungan Selangor FC pada 24 Ogos dan Kuching City FC pada 28 Ogos di Paroi.
Ketua Jurulatih NSFC, Mohd. Nidzam Jamil mengakui, ketiga-tiga lawan mempunyai kekuatan berbeza dan akan menempuh cabaran taktikal serta formula berbeza
“Sudah tentu ketiga-tiga perlawanan ini mempunyai cabaran yang berbeza dan kita akan nilai dan hadapi satu demi satu berdasarkan keupayaan lawan.
“Jadi pendekatan yang terbaik ialah bersikap positif dan minda yang lapang supaya kita kekal siap sedia berdepan dengan mana-mana saingan,” katanya.
Menurutnya, pesanan Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun agar pasukan tidak lagi menjadi pasukan belasahan akan dipegang untuk melakar keputusan positif.
Jelasnya, banyak perkara positif berlaku sejak kebelakangan ini dan semua pemain berasa gembira dengan situasi itu selepas melalui siri latihan dan perlawanan persahabatan.
“Hari demi hari para pemain berpegang kepada corak pemikiran dan etika kerja yang poisitif dan ini penting bagi membantu pasukan mengharungi musim yang mencabar,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Mohd. Nidzam juga meminta para penyokong turun memberikan sokongan padu kepada pasukan dalam setiap perlawanan kelak.
“Saya melihat para penyokong adalah aset nombor satu kepada pasukan. Di tempat latihan, di kedai makan mereka bercakap tentang pasukan dan ini sangat mengujakan bagi saya.
“Kita mahu orang di negeri ini rasa ini adalah pasukan mereka. Pasukan yang menjadi kebanggaan mereka selain daripada perkara lain seperti adat, budaya atau makanan,” katanya.-UTUSAN