PETALING JAYA: Moral pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) berada pada tahap tertinggi menjelang aksi menentang ‘Raja Lembah Klang’, Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Perkara berkenaan diakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom berdasarkan prestasi semasa dan beliau optimis skuad Hobin Jang Hobin mampu meneruskan prestasi cemerlang musim ini.
“Kita optimis dalam aksi berdepan Selangor, tetapi kita tidak boleh terlalu yakin. Kita mahu meneruskan aksi positif kita pada musim ini. Kita juga ateruja apabila aksi menentang Selangor mendapat sambutan luar biasa.
“Sehingga sekarang (semalam) sebanyak 15,000 keeping tiket telah terjual dan kita jangka boleh mencecah 20,000 esok (hari ini). Pemain juga sudah tidak sabar untuk beraksi dalam stadium penuh di laman sendiri.
“Kali terakhir (Stadium Tuanku Abdul Rahman) catat kehadiran 22,000 penyokong ialah masa kita lawan JDT (Johor Darul Ta’zim) pada 2022,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bagaimanapun, Faliq mengakui tugas berat menanti skuad kendalian Nidzam Jamil kerana tidak boleh menggunakan khidmat Alex Agyarkwa kerana status pinjaman selain Luqman Hakim Shamsudin dan Khuzaimi Piee yang cedera.
“Kalau ikutkan 100 peratus pemain boleh bermain berdepan Selangor kecuali Agyarkwa yang tidak boleh bermain menentang kelab asal. Luqman Hakim pula masih cedera dan kondisi Khuzaimi juga belum pulih sepenuhnya,” katanya.
NSFC menarik perhatian peminat bola sepak tanah air susulan aksi positif mereka bermula dengan hampir mengejutkan JDT di Stadium Sultan Ibrahim sebelum membelasah PDRM 5-0 di Paroi pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA, Isnin lalu.
Selepas mengharungi beberapa musim suram, sambutan penyokong terhadap skuad Rusa kali ini tampak lebih hangat selepas berlaku rombakan besar dalam pasukan terutama dengan kehadiran Nidzam dan import baharu.-UTUSAN