SEREMBAN: Kuching City FC berharap proses naturalisasi yang telah selesai untuk penyerangnya, Jordan Mintah akan menjadi pendorong berterusan kepada pasukan itu mencatat keputusan yang lebih baik dalam aksi Liga Malaysia selepas ini.
Ketua jurulatih pasukan itu, Aidil Sharin Sahak menyifatkan keputusan itu sebagai perangsang kepada Kuching City FC memiliki kumpulan pemain yang berkualiti.
Katanya, beliau tidak terlibat dalam usaha tersebut tetapi menyambut baik keputusan itu.
“Apa yang paling penting adalah lebih ramai pemain yang kami ada adalah lebih baik kerana mereka adalah pemain yang berkualiti.
“Ini akan membantu pasukan menjadi lebih kuat dan mencapai sasaran yang kami letakkan pada awal musim,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super antara Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Mintah masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-84 permainan tetapi tidak menghasilkan gol.
Perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan hanya mencatatkan keputusan seri 2-2.
Mintah yang berusia 29 tahun menjadi pemain naturalisasi kesembilan di negara ini telah menjaringkan 15 gol sejak menyertai Kuching City FC tahun lalu.
Pemain kelahiran Ghana itu adalah antara penyerang prolifik Liga Malaysia dengan rekod cemerlang bersama Terengganu FC II, Terengganu FC dan kini Kuching City FC.
Ditanya sama ada Kuching City FC akan melakukan proses naturalisasi lain, Aidil Sharin berkata, beliau bukan pihak yang membuat keputusan itu dan perkara itu terpulang kepada pihak pengurusan.
“Bagi saya apa yang paling penting sekarang adalah membuat pasukan kami bersedia semula mulai esok selepas perlawanan malam ini untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Pasukan itu dijadual tinggal di Kuala Lumpur selama beberapa hari dan melakukan siri perlawanan persahabatan.-UTUSAN.










