Mendez belum bersedia- Cklamovski

Mendez belum bersedia- Cklamovski

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui pemain warisan baharu, Nacho Mendez belum bersedia sepenuhnya untuk mewakili skuad kebangsaan.

Cklamovski berkata, faktor fizikal dan perubatan menjadi pertimbangan utama apabila nama Mendez digugurkan dalam senarai 29 pemain dalam panggilan kem latihan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Australia itu mengakui prestasi mendez bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) cukup menyakinkan dan itu merupakan berita gembira untuk kem negara.

“Nacho beraksi hampir keseluruhan minit dalam liga musim ini dan persembahannya sangat baik. Dia juga teruja untuk datang ke Malaysia, bermain bersama skuad kebangsaan serta menunjukkan kebanggaan terhadap negaranya.

“Dia bersemangat untuk berada di sini, tetapi buat masa ini, kem kali ini bukan untuknya. Saya yakin akan ada peluang di masa depan untuk bekerjasama dengannya,” jelasnya dalam sidang akhbar, semalam.

Cklamovski menegaskan pintu skuad kebangsaan sentiasa terbuka untuk Mendez dan pemain lain yang tidak tersenarai kali ini, sambil menekankan kepentingan keseimbangan fizikal, taktikal dan mental menjelang aksi kompetitif sebenar pada Oktober menentang Laos.

Katanya, dua aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin penting sebagai medan ujian sebelum aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, Oktober depan yang disifatkan sebagai misi wajib menang.

“Ini adalah kem penting untuk memastikan skuad kekal segar dan terus membina identiti permainan kita. Fokus saya adalah meningkatkan mutu permainan secara berterusan agar setiap kali turun ke padang, kita mampu membanggakan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Cklamovski membuat keputusan untuk memanggil pemain warisan, Richard Chin bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Imanol Machucha.

Seperti dijangka, Machuca tidak tersenarai dalam senarai 29 pemain skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin kerana mahu memberi komitmen bersama kelab, Velez Sarsfield.

Sebelum ini, media melaporkan pemain berusia 25 tahun meminta pelepasan khas kerana Velez Sarsfield akan berdepan Central Cordoba bagi perlawanan final Piala Super Argentina, 6 September depan.

Susulan itu, Richard yang beraksi dengan kelab Liga Scotland, Raith Rovers menjadi pilihan Cklamovski bagi mengisi kekosongan di posisi sayap kanan nanti.
Richard pernah mencipta sensasi ketika menyarung jersi Charlton Athletic dan menjadi pemain berdarah Malaysia yang pertama beraksi dalam saingan Piala Liga Kejuaraan Inggeris (EFL).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN