PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan wujud campur tangan atau tekanan luar dalam keputusan Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub melepaskan jawatan selaku Presiden badan induk itu.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, keputusan yang dibuat Mohd. Joehari adalah atas dasar peribadi dan FAM menghormati sepenuhnya tindakan beliau.
“Itu keputusan peribadi Datuk Joehari. Kita dalam FAM hanya melaksanakan apa yang termaktub dalam statut FAM.
“Exco sebulat suara menerima peletakan jawatan beliau dan kita hormati keputusan tersebut,” katanya pada sidang khas khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Dalam masa yang sama, Mohd. Yusoff juga menolak dakwaan kononnya wujud campur tangan pihak tertentu hingga memaksa Mohd. Joehari melepaskan jawatan.
“Tiada isu campur tangan. Saya tegaskan sekali lagi, ini keputusan peribadi beliau. Kita tidak mahu timbul sebarang spekulasi liar.
“Apa yang penting sekarang, kita perlu terus bergerak ke hadapan demi masa depan bola sepak negara,” katanya.
Jelas Moihd. Yusoff, berdasarkan statut FAM, beliau akan memangku jawatan presiden sehingga berlangsungnya kongres seterusnya pada tahun depan yang akan menentukan kepimpinan baharu.
“Siapa pun yang akan dipilih nanti, keputusan akhir tetap di tangan ahli gabungan. Nama-nama yang timbul sekarang hanyalah spekulasi,” katanya.
Mohd. Joehari yang dilantik Februari lalu adalah Presiden FAM kelapan dan individu pertama dari Sabah memegang jawatan itu, selepas menang tanpa bertanding dalam kongres pemilihan penggal 2025-2029.-UTUSAN