Jangan ulangi kesilapan lepas hak penganjuran F1

Jangan ulangi kesilapan lepas hak penganjuran F1

Hannah Yeoh bersama Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas, Azhan Shafriman Hanif pada sidang akhbar Grand Prix Petronas Malaysia 2025 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berpendapat keputusan Malaysia untuk tidak terus menganjurkan Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) Malaysia merupakan satu kesilapan besar.

Beliau berkata, sekiranya negara ini berhajat untuk membawa kembali perlumbaan sukan bermotor termahal di dunia itu ke SIC, ia bakal menjadi satu cabaran besar kerana terdapat senarai menunggu yang panjang untuk mendapatkan slot dalam kalendar F1.

Justeru, katanya, kesilapan sama tidak lagi boleh diulang Malaysia yang kini berada dalam proses rundingan bagi memperbaharui kontrak penganjuran MotoGP bersama Dorna Sports (pemegang hak penganjuran MotoGP).

“Jangan kita ulang kesilapan lalu. Dahulu kita lepaskan F1 dan sekarang amat sukar untuk mendapatkannya semula, jadi, saya berharap perkara sama tidak berlaku terhadap MotoGP pula,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran GP Motosikal Malaysia 2025 di ibu negara, minggu lalu.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan GP F1 Malaysia yang diperkenalkan dalam tahun 1999 ialah pada 2017 ekoran pembiayaan perlumbaan tersebut yang semakin meningkat termasuk kurangnya sambutan daripada peminat tempatan kerana harga tiket terlalu mahal.

Menurut Azhan Shafriman, caj bayaran perlumbaan yang ditetapkan pemilik F1, Liberty Media adalah sekitar AS$70 juta (kira-kira RM300 juta) bagi setiap edisi GP Malaysia, tidak termasuk kos persiapan penganjuran yang dianggarkan antara RM10 juta hingga RM20 juta.

“Jadi, secara keseluruhannya, ia akan menelan kos lebih RM300 juta setahun untuk membawa kembali perlumbaan ini.

“Sebenarnya untuk menganjurkan F1, banyak negara yang sedang beratur (untuk menjadi tuan rumah), jadi ia bukan mudah. Tetapi sekiranya kita benar-benar serius, mungkin perbincangan boleh dimulakan,” katanya.

Tidak menolak potensi F1 kembali dianjurkan di Malaysia, beliau berkata, seandainya hasrat itu mahu direalisasikan kembali, satu pendekatan baharu perlu diguna pakai.

“Ini bukan soal kehendak SIC semata-mata, tetapi juga melibatkan pihak yang berkepentingan terutama kerajaan serta sektor korporat dan kita perlu lihat bagaimana Singapura melaksanakannya.
“Mereka mendapat kerjasama penuh daripada kementerian, sektor korporat hingga ke hotel-hotel. Semua pihak memainkan peranan, begitu juga pendekatan yang perlu diambil jika kita mahu membawa F1 kembali,” katanya.

Sejak Liberty Media mengambil alih F1 pada 2017, sukan itu kembali mendapat nafas baharu menerusi siri dokumentari ‘Netflix Drive to Survive’ yang mula ditayangkan pada 2019, selain pengenalan format perlumbaan pecut pada hari Sabtu bermula 2021.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN