PETALING JAYA: Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky menegaskan pemain Malaysia perlu bijak memanfaatkan sesi ujian gelanggang di Adidas Arena menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang membuka tirai esok.
Rexy selaku pengurus pasukan skuad negara di Paris berkata, penganjur hanya memberikan tempoh sejam sehari bermula semalam dan hari ini yang dibahagikan kepada dua slot 30 minit bagi acara perseorangan dan beregu, termasuk pemain profesional.
“Apabila masuk ke gelanggang, mereka tidak boleh fikir soal adaptasi lagi, tetapi terus fikir bagaimana untuk mendapatkan mata. Masa 30 minit mesti digunakan sepenuhnya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang, angin, serta gangguan lain,” kata Rexy.
Bagi Rexy, aspek adaptasi amat penting kerana kebanyakan pemain negara menerima bye pada pusingan pertama, sekali gus terus berdepan lawan yang sudah ‘panas’ menjelang aksi pusingan kedua.
“Itu pasti memberi kesan, tetapi pemain bertaraf dunia sudah ada pengalaman bagaimana untuk menguruskan situasi sebegini. Perkara ini bukan jadi sekali kepada mereka (beregu berpengalaman). Jadi saya pasti mereka tahu untuk menghadapinya,” jelasnya.
Untuk rekod, hanya satu beregu negara yang tidak mendapat bye pada aksi pusingan pertama iaitu pasangan lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King serta kesemua empat pemain dalam kem perseorangan negara, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Goh Jin Wei dan K. Letshanaa.
Dalam pada itu, Rexy mengakui bye boleh jadi kelebihan kerana menjimatkan tenaga, tetapi juga kelemahan sekiranya pemain lambat menyesuaikan diri dengan gelanggang.
Beliau berharap pengalaman lalu akan membantu pemain Malaysia mengelak daripada terperangkap dengan masalah menyesuaikan diri terlalu lewat dalam kejohanan besar.
“Seandainya pemain dia lambat untuk menyesuaikan diri, itu menimbulkan masalah yang besar. Namun kalau ada pemain yang sangat cepat adaptasi sudah itu memberi satu keuntungan yang besar buat mereka,” katanya.-UTUSAN