PETALING JAYA: Skuad Speedy Tigers tidak boleh membazirkan setiap peluang yang terhidang jika memasang impian untuk menumpaskan juara bertahan, Korea Selatan dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Asia 2025, hari ini.
Ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh menegaskan peluang yang disajikan mesti dimanfaatkan segera jika mahu menundukkan lawan yang terkenal dengan disiplin dan kepantasan serangan balas itu.
“Prestasi kita bagus, cuma kita cipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol. Kita perlu ambil peluang dari awal permainan, kalau tidak kita kena tamatkan permainan lebih awal.
“Kita ambil masa lama tapi itu perlawanan pertama. Kredit harus diberi kepada pemain, cuma masalah kita pada penyudah. Kita mesti pastikan penyudah kita lebih baik,” kata Sarjit.
Speedy Tigers membuka kempen Piala Asia 2025 dengan bergaya apabila membelasah Bangladesh 4-1 di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India semalam.
Menurut Sarjit, kelekaan yang ditunjukkan ketika menewaskan Bangladesh 4-1 tidak boleh diulangi kerana Korea Selatan pasti menghukum kesilapan sekecil mana sekali pun.
“Kita perlu bertahan dengan baik dan cipta banyak peluang. Kemudian kita mesti selesaikan peluang itu. Jika kita buat dengan baik, saya rasa tidak ada masalah. Prestasi memuaskan, cuma kita lemah pada penyudah,” kata Sarjit.
Skuad negara dijangka berdepan aksi lebih fizikal menentang pasukan yang sering menjadi penghalang utama mereka di pentas Asia sejak sedekad lalu.
Untuk rekod, Korea Selatan menewaskan Speedy Tigers 2-1 pada aksi final edisi sebelum ini pada 2022 di Jakarta, Indonesia.-UTUSAN