Golf amal PEKEMA tawar hadiah lumayan

Golf amal PEKEMA tawar hadiah lumayan

Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Mohamed Nazari Noordin memegang trofi pemenang bagi Kejohanan Golf Amal Piala Presiden PEKEMA 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kejohanan Golf Amal Piala Presiden PEKEMA 2025 pada 23 dan 24 Ogos ini di Palm Garden Golf Club, Putrajaya menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM500,000.

Lebih menarik, pihak penganjur menawarkan empat buah kereta elektrik Dongfeng Box di Lubang 7, 12, 14 dan 17 selain wang tunai RM28,888 bagi Lubang 2 untuk hadiah hole-in-one.

Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, kejohanan ini bukan sahaja memperkukuhkan jaringan industri tetapi juga menjadi platform bagi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“PEKEMA Charity Golf bukan sekadar acara sukan malah, ia juga merupakan platform penting untuk merapatkan hubungan usahawan, pemimpin industri dan agensi kerajaan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

“Sebanyak 500 peserta daripada dalam dan luar negara dijangka menyertai kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini,” katanya dalam sidang akhbar kejohanan di Wisma Yayasan PEKEMA, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Presidennya, Datuk Wan Sazrudeen Wan Zaid berkata, kejohanan yang mula dianjurkan pada tahun 2006 itu mencipta sejarah apabila edisi ke-11 buat julung kalinya diadakan di Semenanjung Malaysia.

“Ini antara kejohanan golf amal terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini. Dengan lokasi strategik di Putrajaya, ia memudahkan penyertaan dari seluruh pelosok negara termasuk Sabah, Sarawak serta rakan niaga dari Jepun dan United Kingdom,” ujarnya.

Sebahagian daripada kutipan hasil penyertaan akan disalurkan kepada rumah-rumah kebajikan, organisasi kebajikan terpilih termasuk ahli-ahli seni karyawan melalui Yayasan PEKEMA bagi membantu golongan yang memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN