PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King mempamerkan taringnya apabila mudah melibas wakil Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Paris sebentar tadi.
Beraksi di Adidas Arena, pasangan ranking ke-22 dunia itu hanya memerlukan 27 minit untuk menamatkan saingan dengan kemenangan bergaya 21-5, 21-13.
Aksi mantap itu sekali gus menandakan penampilan sulung mereka di pentas Kejohanan Dunia dengan penuh bergaya.
Lebih manis, Arif-Roy King tampil dengan keyakinan tinggi selepas menjulang gelaran Terbuka Macau awal bulan ini.
Namun laluan mereka tidak semudah itu apabila bakal berdepan pilihan ke-12 dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh pada pusingan kedua, Rabu ini.
Pertemuan itu juga menjadi pertembungan pertama antara kedua-dua pasangan di pentas antarabangsa. – UTUSAN