PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail (TMJ) mengingatkan penyokong skuad Harimau Selatan bahawa kemenangan tidak akan sentiasa menjadi milik pasukannya.
Menurut Tunku Mahkota Ismail, bola sepak adalah sukan yang penuh dengan ketidakpastian dan apa sahaja boleh berlaku sepanjang musim.
Justeru, beliau menasihatkan semua pihak agar sentiasa bersyukur apabila pasukan tetap berjaya meraih kemenangan dalam situasi sukar.
“Dalam bola sepak, apa sahaja boleh terjadi. Tetapi jikalau anda masih ‘menang’ ketika segalanya berlaku, kita harus bersyukur,” katanya menerusi ruangan komen di laman Instagram rasmi kelab, @officialjohor.
Tunku Mahkota Ismail turut mengingatkan penyokong agar tidak terlalu terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan keputusan satu atau dua perlawanan sahaja, sebaliknya melihat perjalanan pasukan secara keseluruhan.
Beliau menegaskan, statistik dan fakta menunjukkan tiada pasukan yang mampu mengekalkan kemenangan sepanjang masa kerana akan tiba saatnya mereka gagal membawa pulang sebarang trofi.
“Sentiasa lihat gambaran dengan lebih besar. Statistik dan fakta tidak menipu. Akan ada masanya nanti kita tidak akan memenangi apa-apa,” jelas baginda.
Tunku Mahkota Ismail juga menasihati penyokong agar tidak terlalu emosional dalam menghadapi turun naik prestasi pasukan kegemaran masing-masing kerana itu adalah lumrah dalam dunia sukan.
“Itulah kehidupan, terutama dalam sukan. Sehingga waktu itu tiba, tiada gunanya kita jadi gila,” tambahnya.-UTUSAN