Aaliyah sandaran Malaysia di Kejohanan Ski Air Dunia

Aaliyah sandaran Malaysia di Kejohanan Ski Air Dunia

Aaliyah bersama dua adiknya, Aiden (kiri) dan Adam akan beraksi pada Kejohanan Ski Air Dunia IWWF 2025 di Reccetto, Milan, Itali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyertaan atlet negara pada Kejohanan Ski Air Dunia IWWF 2025 di Recetto, Milan, Itali yang bermula esok hingga 31 Ogos ini amat penting sebagai persediaan terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, hujung tahun ini dan juga di Malaysia pada 2027.

Peluncur No. 1 Asia, Aaliyah Yoong Hanifah akan mengetuai cabaran negara pada kejohanan berprestij itu dan pemergiannya ke Itali turut ditemani dua adiknya Aiden serta Adam.

Jurulatih sukan ski air kebangsaan, Hanifah Yoong berharap Aaliyah, Aiden dan Adam mampu mempamerkan prestasi terbaik mereka.

“Kejohanan dunia mempunyai dua peringkat iaitu siri 1 dan siri 2 yang mana anda perlu mempunyai ranking yang baik untuk mendapatkan laluan mara ke final, kedudukan ranking atlet pula adalah berdasarkan ranking dunia semasa.

“Macam Aaliyah, dia berada di ranking No. 7 dunia dalam acara lompat dan akan memulakan aksi dalam Siri 1 yang mana ia memberi peluang yang baik untuk layak ke final,” katanya ketika ditemu bual menjelang Kejohanan Ski Air Dunia IWWF 2025, hari ini.

Hanifah berkata, bagaimanapun, dalam acara tricks, Aaliyah berada di ranking No. 11 dunia dan dia perlu bermula di peringkat siri 2 yang mana laluannya lebih mencabar untuk mara ke aksi akhir.

“Selain acara lompat dan tricks, Aaliyah juga akan menyerai acara slalom yang mana acara itu turut menyumbang kepada mata keseluruhan,” katanya.

Mengulas pula mengenai pendedahan atlet sukan air negara, beliau berkata, berbanding Aaliyah, Aiden dan Adam telah dipertimbangkan pemergian mereka ke Itali oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai satu pendedahan untuk Sukan SEA.

“Aiden dan Adam amat memerlukan pendedahan yang lebih banyak di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan mereka, lebih-lebih lagi kita akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027,” katanya.

Sementara itu, Aaliyah yang memenangi tiga pingat emas pada Kejohanan Sukan Universiti Dunia di Auckland, New Zealand mengakui, dua adiknya itu sememangnya memerlukan lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi mencari pengalaman.

“Saya secara peribadi mahu melihat mereka beraksi di Itali bagi meraih pengalaman di peringkat lebih tinggi dan Aiden serta Adam perlu menyertai banyak kejohanan luar.

“Mereka hanya beraksi dua kejohanan antarabangsa dalam setahun, jadi, pengalaman seperti ini sangat bernilai,” kata penuntut dalam jurusan Psikologi di Florida Southern College, Amerika Syarikat.

Aaliyah akan memulakan saingan dalam pusingan awal bagi acara slalom pada 27 Ogos, diikuti acara lompat (29 Ogos) dan tricks (30 Ogos), manakala, adik-adiknya, Aiden serta Adam akan beraksi, esok dalam acara slalom lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN