PETALING JAYA: Lebih 2,200 peserta daripada pelbagai negara dijangka pekan menyertai acara larian denai ‘The Magnificient Baling 100’ (TMB100) 2025 bermula Jumaat ini.
Pengarah Urusan Ten Senses, Mohd. Bukhari Ismail berkata, acara larian denai yang berlangsung pada 15 hingga 16 Ogos ini menerima penyertaan peserta daripada 13 buah negara antaranya Brunei, China, Chad, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Rusia, Singapura, Switzerland, Thailand, United Kingdom (UK) dan Vietnam selain peserta tempatan.
Katanya, jumlah penyertaan bagi peserta kategori ‘ultra’ iaitu larian jarak jauh melibatkan 50 kilometer (KM) dan 100KM menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, selain kategori 25KM dan 10KM.
“Kami mula memperkenalkan acara TMB100 ini pada tahun 2023 dengan jumlah penyertaan ketika itu sekitar 700 orang sahaja.Kemudian, jumlahnya bertambah kepada hampir 1,000 orang pada edisi tahun lalu, dan untuk edisi tahun ini, kami sudah pun menerima pendaftaran peserta sekitar 2,200 orang.
“Apa yang lebih menarik ialah jumlah penyertaan bagi acara larian ‘ultra’ iaitu 50KM dan 100KM turut meningkat berbanding dua edisi sebelum ini.Ini menunjukkan peminat acara larian denai di negara ini semakin meminati acara larian jarak jauh bagi menguji ketahanan diri masing-masing setelah sekian lama menceburi larian denai jarak dekat dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Acara larian denai TMB100 merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Ten Senses dengan kerjasama Kedah Tourism, Majlis Daerah Baling dan Persatuan Rekreasi Luar dan Malim Gunung Baling bagi mempromosikan daerah Baling sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan di negeri Kedah.
Mengulas mengenai laluan yang bakal dilalui para peserta, Mohd Bukhari berkata, antara laluan yang terlibat ialah kawasan Bukit Palong, kawasan sawah padi, laluan tepi Sungai Ketil, Gua Tembus, Gua Layang-layang, Gua Matahari, Gua Ikan, Gua Jepun, Gua Ular dan kaki Gunung Pulai selain kawasan perkampungan tradisional.
Tambahnya, peserta bagi kesemua acara akan dilepaskan di kawasan pelepasan di Pekan Baling dan akan menamatkan larian di lokasi sama mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi setiap jarak larian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran lebih 2,000 peserta acara larian tersebut ke negeri berkenaan khususnya ke daerah Baling bagi menikmati keindahan daerah kedua terbesar negeri jelapang padi itu.
Malah katanya, bersempena Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertemakan ‘Experience Kedah’, para peserta turut berpeluang meneroka keunikan seluruh negeri Kedah yang mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk dilawati.- UTUSAN