Wajibkan kuota pemain B-23

Wajibkan kuota pemain B-23

AKSI skuad B-23 negara ketika menumpaskan Brunei 7-1 dalam aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN 2025 baru-baru ini.- IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mewujudkan kuota khas bagi pemain bawah 23 tahun (B-23) dalam setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, langkah itu penting bagi mematangkan bakat muda serta memberi impak positif kepada prestasi pasukan B-23 dan Harimau Malaya.

Menurutnya, jika FAM selaku badan induk bola sepak negara dan MFL sebagai pengelola liga tidak memainkan peranan utama dalam pembangunan pemain muda, maka siapa lagi yang harus memikul tanggungjawab tersebut?.

“FAM dan MFL seharusnya tegas dan mewajibkan setiap pasukan Liga M menyenaraikan sekurang-kurangnya satu atau dua pemain B-23 dalam kesebelasan utama. Mereka juga perlu diberi peluang beraksi sepanjang perlawanan, atau digantikan hanya dengan pemain seusia,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelas beliau, peraturan seumpama itu akan memastikan semua pasukan patuh dan tidak sekadar bergantung kepada niat baik atau inisiatif sukarela daripada kelab.

“Kalau hanya harapkan kelab guna pemain muda secara sukarela, mungkin sukar. Tapi kalau diwajibkan, semua akan patuh,” ujarnya.

Tambahnya, FAM dan MFL memiliki kuasa penuh untuk melaksanakan syarat tersebut, yang diyakini mampu membuka lebih banyak ruang kepada bakat muda menimba pengalaman di pentas tertinggi liga tempatan.

“Peluang sebegini akan mematangkan pemain dan memberi kesan jangka panjang kepada skuad kebangsaan. Ini bukan soal pilihan, tapi tanggungjawab,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN