PETALING JAYA: Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad bakal menajamkan jentera serangan pendatang baharu Liga Super, DPMM FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026.
DPMM mengesahkan perpindahan itu menerusi kenyataan di laman rasmi mereka dengan Syafiq menjadi pemain Malaysia yang ketiga menyertai kelab terbabit.
“Pemain JDT FC, Shafiq Ahmad memutuskan untuk menyertai DPMM FC bagi menghadapi Liga Malaysia pada musim akan datang. Pemain JDT itu sebelum ini dipinjamkan selama setahun ke Kedah Darul Aman (KDA) pada musim lalu.
“Sepanjang musim lalu, Syafiq bermain dalam 11 perlawanan bersama kelab terbabit dan dipanggil ke skuad kebangsaan sebanyak dua kali pada tahun 2024,” kata kelab itu.
Sebelum ini, kelab Brunei itu sudah mengikat dua pemain Malaysia iaitu Fairuz Zakaria dan Tommy Mawat Bada bagi mengharungi cabaran baharu mereka dalam Liga M.
Syafiq yang berdepan musim sukar bersama KDA susulan isu kewangan bakal bersaing bersama penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta yang turut menyertai DPMM FC.- UTUSAN