PETALING JAYA: Rekod tanpa bolos skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita kebangsaan, Bunga Raya 7s akhirnya lebur di tangan pasukan pembangunan Singapura selepas tewas 5-14 pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Ragbi Johor 7s, Ahad lalu.
Sebelum itu, anak-anak buah Mohd Faiz Samsukhidir mempamerkan dominasi menyeluruh apabila mencatat kemenangan bersih tanpa dibolosi dalam empat aksi terdahulu termasuk menumpaskan Hanelang Angels 41-0 di suku akhir.
Faiz mengakui kekalahan kepada Singapura berpunca daripada jurang besar dari segi kecergasan dan kekuatan fizikal pemain yang masih belum mencapai tahap ideal.
“Secara keseluruhan persiapan pemain masih banyak yang perlu dilakukan dari segi kecergasan dan kekuatan di samping kekurangan kecergasan dalam perlawanan sebenar.
“Kita kalah dengan pasukan yang buat persiapan lebih rapi iaitu latihan berterusan sejak tahun lepas berbanding pasukan negara yang kekurangan latihan disebabkan kekurangan dana,” kata Faiz.
Tambah beliau, kombinasi pemain baharu dan berpengalaman turut menyumbang kepada ketidakseimbangan prestasi, khususnya apabila pemain junior dilihat jauh ketinggalan dari segi intensiti dan pendedahan perlawanan.
“Prestasi pemain baharu masih banyak yang perlu ditumpukan dari segi fitness dan kekuatan yang agak ketara jurangnya serta kurang pendedahan dengan kualiti permainan yang tinggi,” jelasnya.
Skuad negara dijangka menghadapi cabaran lebih getir dalam kalendar akan datang termasuk Siri Asia 7s dan Sukan SEA 2025 di Thailand yang memerlukan persiapan lebih rapi dan menyeluruh.
“Dengan baki masa yang ada ini, kami terpaksa memikirkan cara terbaik selain mengumpul dana mencukupi bagi membolehkan kami mengikut perancangan yang telah dibuat,” ujarnya. – UTUSAN