EAST RUTHERFORD: Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menegaskan bahawa kekuatan sebenar pasukannya bergantung kepada semangat berpasukan bukan kehebatan individu.
Enrique telah membawa revolusi besar dalam skuad PSG, menggantikan era bintang ternama seperti Neymar, Lionel Messi dan Kylian Mbappe dengan barisan muda yang bertenaga, selari dengan falsafah ‘total football’ yang menjadi pegangannya.
Meskipun diangkat sebagai antara jurulatih terbaik dunia, Enrique enggan mendabik dada, malah menyifatkan kejayaan dikecapi hasil kerjasama berpasukan.
“Saya bukan bintang, saya hanya seorang yang mencintai pekerjaan ini. Ketika pasukan diuji, saya lebih menikmati cabaran dan detik sukar itu.
“Bila keadaan tidak berjalan lancar, saya rasa lebih kuat. Memang seronok bila segala-galanya menjadi kerana perkara paling manis mengenai kemenangan adalah menggembirakan penyokong. Saya sebenarnya lebih kuat ketika dikritik berbanding ketika dipuji.
“Kami perlukan 11, atau 13, atau 15 bintang tetapi semua bintang yang berkhidmat untuk pasukan. Ini bukan soal individu, ini tentang berpasukan,” katanya.
PSG berpeluang mencipta sejarah buat gergasi Perancis itu, jika mampu mengetepikan cabaran Chelsea pada perlawanan akhir Piala Dunia Kelab pada awal pagi esok, sekali gus muncul juara.
Skuad kendalian Enrique menjadi pilihan utama untuk muncul juara selepas hadir ke Amerika Syarikat sebagai juara Liga Juara-Juara Eropah dan PSG kini mengintai gelaran Piala Dunia Kelab pertama dalam sejarah kelab mereka.
Enrique juga pernah membimbing Barcelona menjuarai Liga Juara-Juara, dan dia mengakui musim ini antara yang paling bermakna dalam kariernya tetapi enggan membuat penilaian awal sebelum perlawanan akhir dilalui sepenuhnya.
“Mungkin ini musim terbaik saya sebagai jurulatih. Tetapi kita hanya boleh menilai selepas final. Fokus utama sekarang ialah menamatkannya dengan kemenangan,” katanya.
Enrique turut mengingatkan tentang betapa cepatnya dunia bola sepak berubah, merujuk kepada Manchester City sebagai contoh.
“Mereka juara segalanya musim lalu, tapi selepas beberapa kekalahan, terus dikritik. Pep Guardiola masih terbaik, tapi inilah dunia bola sepak, ia kejam tapi realistik,” jelasnya.
Pertemuan antara PSG dan Chelsea dijangka menjadi aksi penuh taktikal dan emosi, apabila dua gergasi Eropah itu memburu gelaran antarabangsa berprestij sebagai penutup sempurna tahun yang luar biasa.-AGENSI