Projek JDT beri kelebihan buat Harimau Malaya

Projek JDT beri kelebihan buat Harimau Malaya

SKUAD Harimau Malaya ketika ini dibarisi pemain-pemain warisan berkualiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) seakan-akan meniru cara Barcelona dengan mengumpulkan hampir keseluruhan pemain kebangsaan Sepanyol dalam satu kelab dan hasilnya mereka berjaya membantu negara itu menjulang Piala Dunia 2010 dan kejuaraan Euro 2012.

Kejayaan skuad kendalian Vicente Del Bosque ketika itu banyak bergantung kepada pemain-pemain yang beraksi di bawah kendalian Pep Guardiola di Barcelona yang memiliki keserasian luar biasa.

Nama-nama besar seperti Gerard Pique, Carles Puyol, Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Sergio Busquets, Pedro Rodriguez dan Victor Valdes bukan sahaja menjadi tulang belakang kelab, malah juga skuad kebangsaan.

Kini, pendekatan yang sama dilihat sedang diadaptasi oleh JDT dalam konteks bola sepak Malaysia menerusi perancangan rapi, malah, JDT dilihat menjadi pusat pengumpulan pemain Harimau Malaya bermula daripada penjaga gol hingga ke jentera serangan.

Justeru, JDT telah merekrut beberapa pemain berdarah kacukan baharu yang sebelum ini bermain di liga luar telah dibawa menyertai skuad Harimau Selatan bagi musim 2025/26.

Setakat ini, empat pemain warisan telah menjadi milik JDT iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan terbaharu pemain tengah Sporting Gijon, Nacho Mendez.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus menyifatkan situasi itu sebagai satu perkembangan yang positif apatah lagi dengan status JDT sebagai pasukan terbaik di negara ini.

“Dengan kemasukan ramai pemain kebangsaan sebelum ini dan juga yang baharu, ini meningkatkan lagi kemampuan JDT untuk memberi cabaran di pentas tertinggi.

“Peluang yang amat baik untuk JDT beraksi di pertandingan luar seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan juga Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC). Saya lihat ini satu perkara yang positif kerana JDT berada dalam kelas tersendiri.

“Dengan kuatnya JDT di pentas domestik menerusi kehadiran pemain berdarah kacukan ini, ini akan memberi manfaat juga kepada skuad Harimau Malaya,” jelasnya.

Beliau juga tidak menolak bahawa ia juga akan memudahkan kerja barisan kejurulatihan diterajui Peter Cklamovksi dalam membentuk keserasian, selain mudah mengumpulkan mereka berikutan bermain di Liga Malaysia.

“Kelebihan lain yang boleh kita nampak adalah pemain terbaik negara ini mudah untuk dihimpunkan kerana mereka berada dalam liga negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata, empat pemain warisan di JDT bakal memudahkan barisan kejurulatihan untuk memantau prestasi mereka dengan lebih dekat.

“Saya fikir kehadiran pemain ini di JDT secara tidak langsung menguatkan lagi pasukan kebangsaan. Kita tahu JDT mengimpikan untuk beraksi di Piala Dunia Kelab jadi persediaan mereka tepat dan kita mengambil kesempatan ini untuk skuad kebangsaan juga.

“Mereka juga lebih dekat dengan kita kerana beraksi di liga tempatan. Ini pun memberi kelebihan kepada Cklamovksi kerana pemain ini di depan mata dia, sentiasa berada dalam radar barisan kejurulatihan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN