PETALING JAYA: Prestasi apit kanan negara, Azlan Alias masih dalam pemantauan sebelum disenaraikan dalam skuad ke Piala Raja Thai yang dijadual berlangsung 20 Julai ini.
Azlan telah menerima surat pelepasan daripada doktor untuk kembali beraksi dalam Liga Sepak takraw(STL), namun tahap kecergasannya ketika ini belum mencapai tahap terbaik.
Bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun optimis pemain berpengalaman itu mampu meningkatkan prestasi dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.
“Azlan sudah menerima surat untuk bertanding dalam STL, namun dari segi kecergasan, kita lihat dia masih belum berada di tahap optimum.
“Kita beri masa kurang dua atau tiga minggu untuk dia tingkatkan prestasi dan kecergasan kerana kita mahukan dia benar-benar bersedia, terutama menjelang Piala Raja Thai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Piala Raja Thai dijadual berlangsung pada 20 hingga 27 Julai ini di Korat, Thailand bakal menghimpunkan pasukan-pasukan elit dari rantau Asia..
Untuk rekod, pencapaian skuad negara dalam kejohanan edisi lepas memberangsangkan selepas berjaya membawa pulang masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa.
Sebelum ini, Jais berkata, pemilihan akhir pemain ke kejohanan di Thailand itu akan diputuskan selepas tamat dua Grand Prix (GP) iaitu GP Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.- UTUSAN