KOTA BHARU: Bekas kapten The Red Warriors (TRW) Mohd. Badhri Radzi atau Piya, 42, kembali ke saingan bola sepak kompetatif selepas menyarung jersi Kelab Bola Sepak AZM Rovers (AZM Rovers FC) dalam kancah Liga A2 musim 2025/26.
Pemiliknya Amin Zubair Muhammad berkata, selain bertindak sebagai pemain Piya turut diberikan peranan sebagai mentor untuk membimbang barisan muda yang beraksi bersama pasukan tersebut.
“Skuad ini dibarisi pemain bawah 25 tahun dan memerlukan tonggak perpengalaman untuk memberikan tunjuk ajar. Jadi kita percaya Piya mampu menggalas tanggungjawab tersebut.
“Selain itu, kehadiran Piya memperkuatkan jentera tengah pasukan dan kita yakin sentuhan beliau masih lagi berbisa. Usia bukan penghalang, apa yang penting kami mahu pengalaman beliau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Amin Zubir memberitahu, adunan pemain muda dan Piya mampu membentuk pasukan yang ampuh dalam memberikan saingan di Lig A2 musim ini.
Katanya, AZM Rovers FC menyasarkan untuk berada dalam kelompok terbaik selain mengintai peluang layak ke saingan Liga A1 Semi Pro musim depan.- UTUSAN