Persatuan sukan kena keluar cari penaja

Persatuan sukan kena keluar cari penaja

HANNAH mahu persatuan sukan mencari penaja dan tidak bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengingatkan agar persatuan sukan di negara ini tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata bagi menjayakan program pembangunan atlet dan sukan.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa persatuan perlu memainkan peranan lebih proaktif termasuk mencari penajaan daripada pihak swasta.

“Ini adalah satu perkara yang sangat baik, tetapi saya mahu pastikan apabila kita bercakap mengenai peruntukan untuk atlet-atlet kita, ia tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan.

“Kita boleh salurkan sedikit sebanyak untuk membantu, tetapi persatuan perlu keluar dan giat mencari penajaan (sponsorship). Penajaan tidak akan datang sekiranya pentadbiran persatuan itu lemah dan ada masalah integriti seperti kes rasuah,” katanya.

Menurut beliau, penaja pastinya tidak akan berani menyalurkan sumbangan jika pentadbiran persatuan dilihat bermasalah, tidak stabil serta terpalit dengan isu perbalahan dalaman sehingga melibatkan tindakan undang-undang.

Sebaliknya, jelas beliau, penaja akan datang apabila melihat pentadbiran yang mantap, bersatu suara dan fokus kepada pembangunan atlet.

“Bila pentadbiran persatuan itu semakin maju dan bersatu, penaja akan datang kerana mereka nak tarikan orang ramai dan suara, dan semua orang mahu menyokong sukan yang sihat.

“Saya tak mahu lihat persatuan sukan terlibat dengan pergaduhan dalaman, bawa ke mahkamah, itu semua membuang masa,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh mengenai keperluan untuk melantik individu yang berkemahiran dalam mendapatkan penajaan sekiranya ahli jawatankuasa sedia ada tidak mempunyai kepakaran berkenaan.

“Kalau tak tahu cari penajaan, tarik orang yang tahu untuk bantu. Memang tak boleh harap 100 peratus dana kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan syarikat swasta seperti Cherry Malaysia yang tampil memberikan dana permulaan sebanyak RM50,000 serta komitmen menyumbang sebahagian keuntungan jualan kereta Tiggo kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) merupakan perkembangan yang amat positif.

“Ini satu perkembangan yang sangat bagus dan perlu dicontohi. Kerajaan pula memang sudah ada Tabung Pembangunan, tetapi kita harap lebih banyak pihak swasta akan tampil ke depan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN