Norza jamin kewangan MOM kukuh 

Norza jamin kewangan MOM kukuh 

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan kedudukan kewangan badan induk tersebut berada dalam keadaan kukuh.

MOM bakal berpindah ke Bukit Jalil bagi membina ibu pejabat baharu di atas tanah seluas 5.38 ekar bernilai RM93 juta dengan pajakan selama 30 tahun daripada kerajaan manakala pemaju akan mengambil alih pemilikan bangunan sedia ada badan induk itu di Jalan Hang Jebat.

Namun, selepas pemeteraian perjanjian itu dibuat di antara pemaju dan MOM, terdapat pihak yang mempersoalkan keputusan badan induk itu selain menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh membebankan kedudukan kewangan MOM.

“Kami menerima kritikan, ada yang kata ini bukan keputusan perniagaan yang baik.

“Tetapi kami tidak mengorbankan apa-apa. Kami akan dapat bangunan yang lebih baik di lokasi yang lebih strategik dan dekat dengan pihak berkepentingan. Kami tidak lagi akan tersekat dalam kesesakan antara sekolah dan Jalan Petaling.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami boleh sahaja ambil RM20 hingga RM30 juta dan bina pejabat kecil di Balakong atau Bukit Beruntung dan simpan selebihnya, tetapi adakah itu yang kita mahu?

“Kewangan kami kukuh, kami ada RM40 juta dalam bank. Kami juga berada di bawah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). Setiap tahun kami menerima antara RM3 hingga RM5 juta dalam bentuk tajaan dan sebagainya, jadi kami tidak ada masalah kewangan.

“Perkara ini telah dibincangkan bersama semua ahli gabungan dan mereka memberikan sokongan penuh terhadap perpindahan ke Bukit Jalil,” kata Norza.

Ibu pejabat baharu MOM dijangka siap pada 2028 akan menempatkan pejabat untuk lebih 32 persatuan sukan kebangsaan, sebuah auditorium, bilik sidang media serta pelbagai kemudahan moden lain.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN