Nidzam janji NSFC di tahap terbaik

Nidzam janji NSFC di tahap terbaik

NIDZAM Jamil mahu membawa NSFC ke kedudukan terbaik di Liga Super musim depan.-IHSAN NSFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil memberi jaminan bahawa pasukannya akan berada pada tahap prestasi terbaik menjelang sepak mula Liga Super musim 2025/2026 yang dijadual bermula 8 Ogos ini.

Menurut Nidzam, fokus utama pasukan kini tertumpu kepada memperkemaskan aspek taktikal dan mempertingkatkan dinamika permainan agar Negeri Sembilan dapat bermula dengan langkah meyakinkan.

Negeri Sembilan dijadual membuka kempen Liga Super menentang pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT), justeru pasukan perlu bersedia dari segala aspek bagi mengelakkan permulaan yang hambar.

“Kita sedang berusaha mengaplikasikan perancangan taktikal bagi menghadapi saingan Liga Super tidak lama lagi. Tumpuan diberikan kepada memperkemas organisasi pasukan, sama ada ketika menyerang mahupun bertahan.

“Seperti diketahui, Negeri Sembilan bakal memulakan aksi Liga Super menentang Johor Darul Tazim (JDT) dan pasukan perlu berada pada tahap yang lebih dinamik untuk memulakan musim baharu,” katanya.

Bekas pengendali Selangor FC itu, turut menekankan kepentingan kestabilan prestasi dan berharap pasukannya dapat mengelakkan corak permainan yang tidak konsisten sepanjang musim.

“Saya tidak mahu pemain menunjukkan prestasi turun naik. Momentum positif yang kita bina sejak awal pramusim ini perlu diteruskan sepanjang kempen agar kita kekal kompetitif,” katanya.

Nidzam juga menyeru semua pemain agar memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam setiap aksi pramusim yang disifatkannya sebagai medan penting untuk membentuk kekuatan sebenar pasukan.

“Saya harap semua pemain terus beri sepenuh tumpuan, kerana inilah waktu terbaik untuk membina persefahaman, semangat berpasukan dan keyakinan diri sebelum kita melangkah ke pentas sebenar Liga Super,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN