Nasken Coffee serah tajaan RM1 juta kepada KRW FC 

Nasken Coffee serah tajaan RM1 juta kepada KRW FC 

NIK Hafiz Naim Nik Hassan (kanan) menyerahkan logo KRW FC sebagai simbolik penajaan daripada Nasken Coffe diketuai  Ketua Jabatan Pemasaran Nasken Coffee Al Amin Hazimi Mohamad Ali di Kota Bharu, malam tadi. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warriors (KRW) semakin bersemangat mengharungi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 apabila menerima penajaan berjumlah RM1 juta daripada Nasken Coffee.

Presidennya, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, kehadiran Nasken Coffee selaku penaja utama membantu mengukuhkan lagi kantung kewangan pasukan.

“Nilai penajaan daripada Nasken Coffee adalah sebanyak RM1 juta yang mana RM500,000 adalah berupa wang tunai dan selebihnya dalam bentuk lain-lain perkhidmatan.

“Bagaimanapun KRW FC masih memerlukan RM1 juta untuk mengukuhkan lagi kantung kewangan pasukan. Mengikut perancangan awal kelab, kita meletakkan sasaran kekuatan kewangan sekitar RM3 juta hingga RM4 juta bagi musim ini,” katanya kepada pemberita semasa pengumuman penajaan di sini malam tadi.

Nik Hafiz berkata, selain itu KRW FC turut menerima tajaan dari Bard Gym berupa kemudahan fasiliti melibatkan latihan kecergasan dan kekuatan untuk barisan pemain.

Dalam perkembangan lain, Nik Hafiz Naim berkata, pihaknya sedang menunggu ketibaan seorang lagi pemain import dari England dan sedang berusaha untuk mencari seorang atau dua lagi pemain tempatan untuk melengkapkan pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

“Seorang pemain import sudah diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Terengganu FC tempohari, iaitu Kayden Craig Soper yang berasal dari Australia dan pernah bermain bersama Majung City FC di Liga A1 Semi Pro sebelum ini.

“Pemain import dari Cameroon yang sebelum ini bermain di Liga Premier Kemboja juga sudah tiba di Malaysia pagi tadi (semalam) dan kini kita hanya menunggu ketibaan seorang lagi pemain import dari England yang dijangka tiba pada minggu ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN