SHAH ALAM :Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuka tirai musim baharu 2025-2026 dengan pelancaran rasmi bola perlawanan PUMA Orbita MFL 1 yang bakal digunakan dalam semua aksi Liga Malaysia (Liga M), menandakan musim keempat kerjasama antara MFL dan jenama sukan global berprestij itu.
Lebih membanggakan, Liga M menjadi liga pertama di Asia yang menggunakan bola rasmi keluaran PUMA secara eksklusif, selari dengan penggunaan bola PUMA MFL Accelerate 21.1 Pro sejak musim 2022 lalu.

Bola jenama antarabangsa itu turut menjadi pilihan rasmi bagi beberapa liga utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga di Sepanyol, Serie A di Itali serta Liga Portugal.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pelancaran bola baharu itu bukan sahaja meningkatkan kualiti permainan di peringkat domestik, malah turut menyumbang kepada penjenamaan Liga M di mata dunia.
“Selepas tiga musim, kita dapat saksikan bagaimana bola PUMA Orbita MFL 1 ini berjaya membantu pemain-pemain Liga Malaysia menyerlah dengan prestasi terbaik sepanjang musim,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rasmi bola terbabit.
Menurutnya lagi, kerjasama tahun keempat ini membuktikan kepercayaan jenama sukan antarabangsa terhadap potensi Liga Malaysia untuk terus berkembang ke tahap lebih tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan liga tempatan di pentas global.
Sementara itu, pemilik Active Sports Centre, S Murugeson berkata, beliau amat berbesar hati dengan keyakinan yang diberikan oleh MFL untuk terus menjadi pembekal rasmi bola perlawanan bagi musim 2025-2026.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MFL atas kepercayaan berterusan kepada Active Sports. Kami komited untuk menyediakan bola berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan aksi berintensiti tinggi di Liga M,” katanya.
Menurutnya, sejak musim pertama kerjasama, PUMA sentiasa menitikberatkan aspek teknikal dan ketahanan bola untuk memastikan keselesaan dan prestasi optimum setiap pasukan.
Beliau turut berharap penggunaan PUMA Orbita MFL 1 musim ini mampu memberi nilai tambah kepada kelab bertanding dalam misi memburu kejuaraan di pentas Liga Super, Piala FA, MFL Challenge Cup dan Piala Malaysia.-UTUSAN