PETALING JAYA: Kemarau pingat skuad terjun negara di Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura berterusan apabila gandingan Elvis Priestly Clement-Lee Yiat Qing sekadar menamatkan aksi final 10 meter (m) platform seirama campuran di tempat ke-11, hari ini.
Pasangan yang membuat penampilan sulung di kejohanan dunia itu hanya mampu mengumpul 247.86 mata selepas lima terjunan di Pusat Akuatik OCBC, jauh ketinggalan di belakang trio pencabar utama.
China kekal gah apabila gandingan Zhu Yongxin-Xie Peiling menghadiahkan emas dengan 323.04 mata, manakala Korea Utara meraih perak menerusi Choe Wi Hyon-Jo Jin Mi (322.98 mata).
Tempat ketiga menjadi milik Aleksandr Bondar-Anna Konanykhina dari Rusia yang bertanding sebagai atlet neutral dengan 311.88 mata, sekaligus menafikan harapan skuad negara untuk sekurang-kurangnya menamatkan penantian podium.
Dua lagi wakil negara, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie turut gagal menyerlah dalam acara 1 meter papan anjal lelaki selepas terkandas di pusingan kelayakan.
Rui Jie hanya mampu berada di kedudukan ke-41 manakala Nazmi yang pernah meraih gangsa di Kejohanan Remaja Dunia 2024 pula menamatkan saingan di tangga ke-44 daripada 59 peserta.
Turut menambah derita kontinjen renang negara, perenang utama Khiew Hoe Yean gagal mara ke final acara 400m gaya bebas lelaki selepas sekadar menduduki tempat ke-28 secara keseluruhan.
Pemenang dua emas Sukan SEA itu mencatat masa 3 minit 51.11 saat (s) dan dijangka kembali menggegar dalam acara 100m, 200m dan 800m gaya bebas selepas ini. – UTUSAN