LONDON: Newcastle United percaya penyerangnya, Alexander Isak akan kekal di St James’ Park musim depan biarpun diketepikan ketika mereka tewas 0-4 kepada Celtic dalam aksi persahabatan.
Media Britain melaporkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, berminat mendapatkan Isak yang berusia 25 tahun yang masih mempunyai baki kontrak tiga tahun bersama Newcastle.
Musim lalu, Isak meledak 23 gol EPL, hanya ketinggalan enam jaringan di belakang penyerang Liverpool dan pemenang Kasut Emas, Mohamed Salah yang menjaringkan 29 gol.
Sejak menyertai Newcastle dari Real Sociedad pada 2022, Isak yang sudah 52 kali mewakili Sweden, merekodkan 62 gol dalam 109 penampilan bersama Magpies dalam semua kejohanan.
“Itu keputusan saya. Dia (Isak) ikut kami ke Glasgow tetapi saya menghantarnya pulang kerana spekulasi perpindahan. Tidak adil untuk dia duduk di bangku penonton. Namun saya yakin dia akan kekal bersama Newcastle selepas jendela perpindahan berakhir
“Isak gembira di Newcastle, dia sayangkan pasukan, rakan sepasukan dan staf. Saya sudah berbincang dengannya, tapi itu perkara biasa. Dia menunjukkan sikap profesional dan berlatih dengan baik walaupun ada ‘bunyi-bunyi’ di luar,” kata pengendali Newcastle, Eddie Howe selepas perlawanan.
Newcastle, yang menamatkan saingan di tangga kelima musim lalu untuk layak ke Liga Juara-Juara, akan menentang Arsenal dalam aksi persahabatan di Singapura pada Ahad ini.- AGENSI