LONDON: Bekas penyerang Manchester United, Memphis Depay dilaporkan hampir menyertai bekas pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer selepas hubungannya dengan kelabnya merosot.
Penyerang Belanda, Memphis Depay pernah bermain bersama United selama dua tahun dari 2015 hingga 2017 telah menarik minat kelab Turki, Besiktas yang kini dikendalikan oleh Solskjaer.
Menurut laman Turki, fotoMac, Besiktas diberi lampu hijau oleh Corinthians untuk memulakan rundingan berkenaan terma peribadi dengan pemain itu.
Depay kini bermain untuk kelab Brazil itu sejak 2024 namun hubungannya dengan pasukannya dilaporkan telah merosot berikutan pertikaian mengenai gaji.
Menurut laporan daripada media Brazil, Globo, Depay ponteng latihan bersama Corinthians disebabkan tunggakan gaji dengan majikannya.
Kelab itu dikatakan berhutang sebanyak 625,000 pound (RM3.6 juta) kepadanya dan jumlah itu dijangka meningkat sekurang-kurangnya 1.25 juta pound (RM7.1 juta) lagi dalam bentuk bayaran bonus menjelang September.
Depay masih mempunyai baki kontrak selama setahun namun dia dijangka akan berpindah ke Turki jika persetujuan mengenai terma peribadi dapat dicapai. – AGENSI