LONDON: Tawaran lumayan berjumlah 50 juta euro (RM247 juta) menyebabkan Chelsea sukar menolak permintaan kelab Arab Saudi, Al-Nassr untuk mendapatkan Joao Felix.
Nilai berkenaan merangkumi bayaran pendahuluan sebanyak 30 juta euro (RM148 juta) dan tambahan 20 juta euro (RM99 juta) bergantung kepada pencapaian bintang Portugal itu.
Situasi tersebut menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu bakal menyertai Cristiano Ronaldo jika tiada halangan pada saat akhir untuk merealisasikan perpindahan berkenaan.
Perpindahan ini dijangka mempercepatkan usaha Chelsea untuk mendapatkan Xavi Simons, pemain berusia 22 tahun dari RB Leipzig yang berminat berpindah ke Stamford Bridge.
Simons bakal mengikuti jejak langkah Joao Pedro, Liam Delap dan beberapa lagi pemain yang menyertai kelab itu dalam jendela perpindahan kali ini.
Felix menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan 44.5 juta pound (RM251.4 juta) pada Ogos 2024, tetapi menghabiskan separuh kedua musim lalu secara pinjaman bersama AC Milan.
Kelab Serie A itu menanggung sepenuhnya gajinya serta membayar yuran pinjaman sebanyak 4.8 juta pound (RM27.1 juta). Namun, tiada pilihan pembelian secara tetap dimasukkan dalam perjanjian.
Felix tidak tersenarai dalam skuad 28 pemain Chelsea bagi Piala Dunia Kelab selepas gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan di bawah kendalian pengurus Enzo Maresca.
Sepanjang musim lalu, dia hanya bermain selama 364 minit dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kontraknya i Stamford Bridge berakhir pada 2030, dengan pilihan lanjutan setahun.
Sepanjang musim lalu, Felix hanya membuat tiga penampilan dalam kesebelasan utama di EPL, tiga di Liga Konferens Eropah, sekali di Piala FA, dan dua kali ketika Piala Liga.- AGENSI