BRNO: Francesco Bagnaia mencipta kejutan apabila merangkul petak pertama sulung musim ini di Grand Prix Motosikal MotoGP Republik Czech, hari ini.
Pelumba Ducati itu mencatat masa terpantas 1 minit 52.303 saat (s) dalam sesi kelayakan yang berlangsung dalam cuaca cerah di Litar Brno.
Bagnaia menewaskan rakan sepasukan, Marc Marquez yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas terbabas pada percubaan terakhir.
“Saya nak ucap terima kasih kepada pasukan, mereka lakukan kerja hebat semasa saya berhenti sebentar.
“Kami cuma buat sedikit pelarasan. Tapi tayar akan jadi cabaran petang ini,” kata Bagnaia.
Fabio Quartararo dari Yamaha melengkapkan barisan depan selepas muncul ketiga terpantas dalam sesi kelayakan kedua.
Juara bertahan, Jorge Martin yang kembali selepas kecederaan panjang hanya mampu menamatkan kelayakan di tempat ke-12.
Sementara itu, Marquez kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 344 mata, diikuti adiknya, Alex Marquez dengan 261 mata. – AGENSI