LONDON: Arsenal mencipta sejarah bola sepak wanita apabila menandatangani penyerang Kanada, Olivia Smith dari Liverpool dengan nilai perpindahan £1 juta Pound (RM5.7 juta).
Smith yang berusia 20 tahun menandatangani kontrak lumayan selama empat tahun bersama juara Liga Juara-Juara Eropah itu.
Perpindahan ini memecah rekod dunia terdahulu yang dipegang Chelsea ketika mendapatkan Naomi Girma pada Januari lalu dengan nilai £900,000 Pound (RM5.1 juta).
“Ini impian saya untuk bersaing merebut kejuaraan terbesar di England dan Eropah, dan saya teruja untuk bermula dan menyumbang kepada kejayaan Arsenal,” kata Smith.
Smith sebelum ini menyertai Liverpool dari Sporting Lisbon pada 2024 dengan nilai hanya £200,000 Pound (RM1.2 juta) dan menjaringkan tujuh gol dalam 20 perlawanan.
Liverpool akhirnya menerima tawaran lumayan Arsenal selepas beberapa cubaan terdahulu ditolak.
Smith turut mencatat sejarah apabila melakukan debut bersama skuad kebangsaan Kanada seawal usia 15 tahun pada 2019.
“Olivia adalah pemain muda yang menarik dan kami percaya dia mampu memberi impak besar di Arsenal,” kata ketua jurulatih, Renee Slegers. – AGENSI