FLORIDA: Kejutan terbesar berlaku di Piala Dunia Kelab apabila Manchester City disingkirkan oleh wakil Arab Saudi, Al-Hilal di pusingan 16 terbaik, sebentar tadi.
Anak-anak buah Pep Guardiola tumpas 3-4 dalam perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar.
Kemenangan itu menyaksikan Al-Hilal akan berdepan Flumninense di suku akhir selepas kelab Brazil itu mengejutkan Inter Milan dalam satu lagi perlawanan, hari ini.
Marcos Leonardo menjaringkan gol keduanya pada minit ke-113 untuk memastikan kemenangan ke atas City yang terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Bernardo Silva pada minit kesembilan.
Dua gol pantas daripada Leonardo dan Malcom dalam tempoh enam minit sejurus separuh masa kedua meletakkan Al-Hilal di hadapan sebelum Erling Haaland menyamakan kedudukan untuk City pada minit ke-55.
Empat minit selepas masa tambahan bermula, Kalidou Koulibaly menanduk masuk sepakan penjuru Ruben Neves untuk memberikan kelebihan semula kepada Al-Hilal.
Phil Foden menyamakan kedudukan untuk City pada minit ke-104, namun Leonardo muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan tujuh minit sebelum tamat masa tambahan.- AGENSI