PETALING JAYA: Skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski bakal diperkuatkan dengan lebih ramai pemain warisan yang berkualiti pada September depan.
Fasa kedua kemasukan pemain berdarah kacukan ‘gred A’ itu pasti membuatkan peminat bola sepak tempatan lebih teruja dengan wajah baharu Harimau Malaya.
Difahamkan, pemain yang bakal dipanggil berkualiti tinggi selain beraksi dalam liga kompetitif dan diyakini mampu mengubah DNA permainan Harimau Malaya.
Menurut sumber, enam hingga 10 pemain gred A sedang diperhalusi oleh pasukan pemantau skuad kebangsaan dan proses dokumentasi juga memasuki fasa akhir.
Katanya, proses dokumentasi sangat penting bagi memastikan kelancaran penampilan pemain warisan pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa ( FIFA), September ini.
“Kita sedang melakukan pemantauan terhadap pemain warisan baharu yang beraksi di luar negara. Mereka juga adalah rakyat Malaysia dan boleh beraksi untuk Harimau Malaya.
“Terdapat senarai panjang pemain warisan di luar negara. Namun begitu, mereka perlu melalui proses tertentu untuk beraksi bersama Harimau Malaya,” kata sumber itu.
Sebelum ini, kehadiran pemain warisan telah membantu Harimau Malaya membenam Vietnam 4-0, sekali gus menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas skuad Naga Emas.
Penampilan Facundo Garces, Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero dan Imanol Machuca terbukti berkesan dan bukan sekadar projek ‘mi segera’.
Berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Skuad Kebangsaan, Rob Friend sebelum ini, projek pemain warisan ini akan diteruskan sehingga Harimau Malaya meraih kejayaan.
Jika berjalan lancar, fasa kedua ini bakal menjadi antara kumpulan pemain warisan paling berkualiti pernah dimiliki Malaysia berdasarkan kepada prestasi dan kelab yang diwakili mereka.-UTUSAN