MIAMI: Fluminense melengkapkan kemaraan kesemua wakil Brazil di pusingan 16 akhir Piala Dunia Kelab ketika kesemua wakil dari Asia pulang lebih awal.
Sundowns yang seri 0-0 dengan Fluminense sepatutnya mampu memenangi perlawanan itu, namun ketumpulan jentera serangan menyudahkan peluang, membuat mereka kecewa dan terlepas untuk mara ke pusingan kalah mati sekali gus memberi laluan kepada skuad kendalian Renato Gaucho.
Keputusan itu membolehkan Fluminense menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua dengan lima mata, dua di belakang juara, Borussia Dortmund untuk menyertai kelab Brazil lain iaitu Flamengo, Palmeiras dan Botafogo.
Pemain sayap Fluminense, Jhon Arias mengakui kemaraan ini adalah impian semua pemain namun ia bukan penamat kerana mereka bersedia berusaha keras untuk melangkah lebih jauh.
“Menjadi satu impian untuk mara dan kini setiap pasukan yang layak ke pusingan 16 juga mahu melangkah ke suku akhir” katanya.
Fluminensea akan berdepan Inter Milan di peringkat 16 terbaik pada Rabu ini dan pada masa yang sama jaringan tunggal Daniel Svensson pada babak pertama memastikan Borussia Dortmund melakar kemenangan 1-0 ke atas Ulsan HD.
Kekalahan wakil dari Korea Selatan itu sekali gus menamatkan kempen kelab dari Asia pada kejohanan itu.
Pada aksi semalam, gol kemenangan kelab Jerman itu hadir pada minit ke-36 apabila Bellingham melakukan hantaran tepat kepada Svensson, dan pemain Sweden itu menyudahkan peluang tersebut. – AFP/UTUSAN










