PUTRAJAYA: Ratu skuasy negara, S. Sivasangari muncul atlet skuasy pertama negara menyertai Program Road To Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Paris 2028 (LA2028).
Nama Sivasangari disahkan dalam senarai atlet RTG selepas mengambil kira kedudukan semasa ranking dunia dan pencapaiannya dalam kejohanan antarabangsa.
Beliau merupakan antara 10 atlet yang hadir menandatangani perjanjian komitmen bersama RTG selepas mesyuarat jawatankuasa, semalam.
Turut menyertai RTG ialah barisan pemain badminton negara seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pelumba berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan badang negara, Mohamad Aniq Kasdan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, hampir semua permohonan yang diterima melibatkan pendedahan kejohanan serta latihan tambahan untuk memperkasa prestasi atlet.
“Harapan kita adalah semua atlet ini akan kekal dalam senarai RTG dan akan terus meningkat kerana sekarang adalah ranking 10 terbaik.
“Menjelang 2028, kita akan melihat empat atau lima terbaik, baru ada peluang untuk dapatkan pingat emas,” kata Hannah dalam sidang akhbar RTG, semalam.
Dalam pada itu, Sivasangari menyifatkan penyertaannya dalam program ini sangat penting memandangkan beliau berlatih di luar negara dan memerlukan sokongan kewangan untuk meneruskan persiapan ke Olimpik.
“Penyertaan dalam program ini amat penting bagi saya kerana ia memberikan sokongan kewangan, terutamanya kerana saya berpangkalan di luar negara dan sedang membuat persiapan ke Olimpik.
“Semua pemain sedang berusaha ke arah Olimpik dan berada dalam program ini memberi kelebihan besar kepada kami untuk mendapatkan perkara yang benar-benar kami perlukan,” kata Sivasangari.-UTUSAN