PETALING JAYA: Pelantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dimuktamadkan pada Kongres Luar Biasa FAM hari ini merupakan langkah tepat dalam memastikan kesinambungan kepimpinan bola sepak negara.
Meskipun sudah melepaskan jawatan presiden FAM, peranan Hamidin tidak harus diketepikan begitu sahaja.
Pengalaman luas beliau dalam mentadbir bola sepak tempatan termasuk kejayaan membawa Malaysia ke Piala Asia 2024, penstrukturan semula Liga Malaysia serta pelaksanaan dasar pembangunan akar umbi menjadikan beliau antara tokoh paling berpengaruh dalam landskap bola sepak tanah air.
Sokongan terbuka daripada semua pihak turut menunjukkan keyakinan komuniti bola sepak terhadap kredibiliti dan sumbangan Hamidin.
Pemerhati menekankan bahawa kehadiran Hamidin bukan kerana kurangnya kepercayaan terhadap barisan baharu, sebaliknya sebagai sandaran pengalaman yang wajar dirujuk.
Kesimpulannya, pelantikan ini bukan sekadar simbolik penghormatan, tetapi satu keputusan strategik yang dapat memperkukuh jentera pentadbiran FAM dalam tempoh yang kritikal menuju kelayakan Piala Asia 2027 serta memastikan legasi pembangunan bola sepak terus kukuh, khususnya ‘jambatan’ dengan semua negara luar.-UTUSAN